SETERUK-TERUK Barisan Nasional (BN) pun, parti itu tidak pernah kalah seperti Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil seperti di Tanjung Piai malam tadi.
Menjelang pukul 9 malam, tidak ragu lagi bahawa BN bukan saja merampas semula kerusi yang ia kalah kepada PH setahun setengah lalu tetapi ia menang dengan cukup bergaya.
Berikut mereka yang menang dan kalah, yang untung dan melopong dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.
MENANG
Pengundi Tanjung Piai
Pengundi menunjukkan kuasa mereka di peti undi. Mereka menghantar suara yang kuat dan jelas kepada Pakatan. Sepanjang tempoh kempen, suara yang terdengar ialah rungutan tentang janji pilihan raya yang belum tertunai.
Baik suara itu daripada pengundi Melayu mahupun Cina, kerajaan sudah tidak dapat memekakkan telinga dan tidak boleh lagi menangguh janjinya.
Penduduk kaum Melayu merungut soal periuk nasi sementara kaum Cina bising tentang pendidikan. Pakatan perlu menyelesaikan janjinya sebelum pilihan raya umum akan datang.
Muafakat Nasional
Keputusan pilihan raya kecil Tanjung Piai memberikan BN dan PAS tiupan semangat yang diperlukannya bahawa ia kini mendapat sokongan pengundi Melayu dan Cina.
Najib Razak
Semasa pilihan raya umum yang lalu, Johor adalah satu-satunya negeri yang Najib tidak turun berkempen kerana beliau sangat tidak popular. Tetapi 18 bulan kemudian, dan ketika berdepan dengan puluhan tuduhan jenayah rasuah dan salah guna kuasa, bekas perdana menteri seperti dapat nyawa baru. Kita boleh menjangkakan Najib akan bertambah aktif dalam masa beberapa bulan akan datang.
MCA
Parti kaum Cina ini boleh mendongakkan mukanya semula selepas mengalahkan Pakatan yang disertai lawan utamanya DAP. Daripada hanya seorang ahli parlimen, MCA sekarang akan ada dua wakil di Dewan Rakyat.
Pilihan raya kecil Tanjung Piai akan diingati bertahun-tahun dari sekarang sebagai hari MCA bangkit dari abu.

KALAH
Pakatan Harapan
Parti itu menghantar pemimpin utamanya – Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan ramai lagi.
Tetapi semua itu tidak bermakna kerana mereka gagal membaca denyut nadi pengundi.
Walaupun masing-masing ada tarikan tersendiri, mereka gagal kerana yang dkehendaki di Tanjung Piai ialah sebuah Pasukan Malaysia, dan bukan pasukan yang penuh dengan bintang yang sendiri-sendiri.
Kerajaan
Kekalahan besar ini isyarat yang nyata kepada kerajaan bahawa prestasinya tidak memuaskan rakyat, dan ada masanya sangat sukar difahami.
Pengundi bercakap tentang kadar tol lebih rendah tetapi bagi Kementerian Kewangan menegaskan ia mesti mengambil alih Lebuh Raya Plus yang dimilik oleh syarikat dikuasai kerajaan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum kadar tol boleh dikurangkan.
Apa jadi sebenarnya?
Gerakan dan Berjasa
Dua parti ini mungkin mahu mengingatkan pengundi bahawa mereka masih ada. Mereka dapat sedikit publisiti yang diperlukan tetapi sebenarnya tiada sebab untuk mereka bertanding di Tanjung Piai.
Kedua-duanya tiada sokongan akar umbi. Mereka hanya berkempen dari rumah ke rumah. Ketika Gerakan perlu melakukan lebih banyak muhasabah, Berjasa perlu bertanya diri sendiri kenapa mereka bersama PAS – parti yang meninggalkannya untuk bersama Umno. – 16 November, 2019.
Komen