RAFIZI Ramli tidak mahu aktif berpolitik sekarang kerana beliau naib presiden PKR itu sekarang sudah kecewa, kata Anwar Ibrahim.
Anwar tidak menghuraikan dengan lanjut apa sebab Rafizi kecewa.
Presiden PKR itu bagaimanapun membayangkan ia ada kaitan dengan perkembangan yang berlaku sejak Pakatan Harapan (PH) berjaya menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dari tampuk kuasa.
“Dia banyak bantu (parti) dan saya faham, dia juga seperti Nurul Izzah yang rasa kecewa kerana harapkan sesuatu yang lebih positif berlaku (kepada negara).
“Kita beri masa, (supaya mereka) tidak beri keputusan yang gopoh,” katanya kepada wartawan selepas Konvensyen PKR Kedah dan Perlis di Kulim, hari ini.
Selepas dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah semalam daripada sabitan membocorkan maklumat sulit perbankan, Rafizi berkata beliau tidak berminat untuk kembali menyertai politik.
Beliau juga tidak berminat untuk diberikan sebarang jawatan penting dalam kerajaan, buat masa ini.
Katanya, beliau mahu berehat antara dua hingga empat tahun sebagai orang biasa dan membayar semula masa yang dihabiskan selama ini untuk politik dengan bersama keluarga.
nwar turut berkata, sikap Rafizi adalah berbeza dengan segelintir individu yang mementingkan jawatan.
Dia berbeza daripada (segelintir individu yang ) berebut-rebut jawatan dan kekayaan,” jelasnya tanpa menamakan mana-mana pihak.
Rafizi dianggap antara arkitek penting kejayaan Pakatan Harapan dalam PRU14 melalui kajian data raya (big data) yang dibuat oleh firmanya Invoke Malaysia, yang membantu parti menyusun strategi mendekati pengundi.
Selain Rafizi, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut meletakkan semua jawatan dalam parti tanpa memberikan sebarang penjelasan.
Akhir tahun lalu, Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden parti dan Pengerusi PKR negeri.
Beliau berkata, hanya ingin menumpukan tugas sebagai Ahli Parlimen sahaja tanpa terikat dengan jawatan parti. – 16 November, 2019.
Komen