Biar MPP tentukan status pemimpin tak datang mesyuarat, kata Anwar


Zaim Ibrahim

Anwar Ibrahim mengulas mengenai PKR berhubung tindakan beberapa pemimpin kanan parti yang tidak pernah hadir atau kerap tidak hadir ke mesyuarat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2019.

HANYA Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang akan menentukan kedudukan pemimpin kanan parti yang tidak hadir ke mesyuarat biro dan majlis itu, kata presiden parti Anwar Ibrahim.

Katanya, walaupun ada peruntukan untuk parti mengambil tindakan disiplin, majlis setakat ini mengambil pendekatan untuk memberi ruang kepada mereka yang terlibat supaya datang ke mesyuarat.

“Kita ambil pendekatan yang sangat sederhana dan lembut untuk beri ruang kawan-kawan kita memikirkan, sebab itu kita takkan gunakan peruntukan itu setakat ini.

“Terserah ahli majlis, saya selalu dengar pandangan yang mereka kemukakan,” katanya kepada media selepas Konvensyen PKR Kedah dan Perlis di Kulim, hari ini.

Ditanya mengenai peruntukan dalam perlembagaan yang menganggap seseorang ahli parti yang terpilih memegang jawatan lucut jawatannya jika tiga kali berturut-turut tidak hadir mesyuarat, Anwar berkata ia terserah kepada MPP untuk menentukan.

“Dulu pernah dikemukakan (dalam mesyuarat terdahulu) tapi saya minta tangguh,” katanya.

Anwar ditanya pendirian PKR berhubung tindakan beberapa pemimpin kanan parti yang tidak pernah hadir atau kerap tidak hadir ke mesyuarat.

Antara mereka yang dilaporkan tidak hadir mesyuarat PKR sebelum ini termasuk Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin kanan yang juga menteri kabinet misalnya Zuraidah Kamaruddin dan Baru Bian.

Perkara 21.16 Perlembagaan PKR menyatakan mana-mana ahli MPP tidak hadir ke mesyuarat selama tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah, mereka disifatkan sebagai telah letak jawatan dalam majlis pimpinan tertinggi parti. – 16 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen