Pemimpin Pakatan ingatkan pengundi Tanjung Piai buat keputusan bijak


Petugas SPR membuat persiapan terakhir sebelum proses pengundian PRK Tanjung Piai esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 November, 2019.

PEMIMPIN-pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggunakan detik-detik akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan melabuhkan tirai 11.59  malam ini dengan mengajak pengundi keluar beramai-beramai esok dan membuat keputusan yang bijak dalam memilih wakil rakyat baharu mereka.

Dalam satu ceramah di Pontian malam ini, Timbalan Presiden PH Muhyiddin Yassin berkata peluang untuk PH menang pada PRK ini akan menjadi lebih tinggi jika lebih ramai pengundi keluar melaksanakan dan menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya seru ramai-ramai keluar undi. Ingatlah calon PH mewakili semua rakyat Malaysia. Saya sedar banyak perkara kena buat untuk pengundi.

Tapi jika tidak undi calon kerajaan, bagaimana kerajaan boleh bantu pengundi. Calon kita Karmaine Sardini adalah calon yang tepat dan mampu menjadi wakil yang sesuai untuk pengundi Tanjung Piai,” kata menteri dalam negeri itu.

Di hadapan kira-kira 200 orang itu juga, turut berucap adalah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang menyeru pengundi Tanjung Piai supaya terus bersama PH untuk meneruskan legasi pembangunan yang telah dirancang baik di peringkat negeri mahupun pusat.

Sementara itu, penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mengingatkan pengundi bahawa PH yang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN), akan terus melaksanakan dan menunaikan janji manifesto termasuk untuk pengundi Tanjung Piai. 

Karmaine yang turut berada di majlis itu juga mengambil kesempatan untuk bergambar, bersalaman selain menitipkan pesanan supaya memberikannya peluang dengan mengundinya sebagai wakil rakyat mereka.

Pada PRK ini, Karmaine berhadapan calon BN daripada MCA Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. – Bernama, 15 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen