KONGRES sayap Pemuda dan Wanita PKR bulan depan akan dibuka berasingan, kata sumber parti, susulan tempias krisis dalaman parti yang dikaitkan antara kem Presiden Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali.
The Malaysian Insight difahamkan kongres Wanita PKR akan dirasmikan pada sebelah malam pada Khamis 5 Disember sementara perasmian kongres AMK dibuat pada pagi berikutnya.
Keputusan supaya kongres sayap dibuka berasingan dipersetujui oleh pimpinan sayap Pemuda dan Wanita selepas masing-masing tidak berganjak mengenai siapa yang dijemput merasmikan kongres.
AMK mahu kongresnya dirasmikan oleh Pengerusi Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sementara Wanita PKR kekal dengan tradisi, kongres sayap dirasmikan oleh timbalan presiden.
Sumber di ibu pejabat PKR memberitahu The Malaysian Insight, pihak urus setia pengelola kongres nasional “tidak mahu pening kepala” selepas sayap Pemuda dan Wanita masing-masing membuat keputusan berbeza.
Jalan penyelesaiannya, kata sumber, mereka dibenarkan mengadakan pembukaan kongres secara berasingan.
“Mereka (urus setia pengelola kongres) tidak mahu panjangkan isu ini. Isu tegang kerana AMK tidak mahu teruskan tradisi. Jadi untuk selesaikannya kita buat perasmian berasingan,” katanya yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight.
Kelmarin, 21 ahli majlis pimpinan AMK pusat diketuai Timbalan Ketua AMK Hilman Idham mengeluarkan kenyataan bersama membantah keputusan pimpinan sayap menjemput Dr Wan Azizah dan bukannya Azmin.
Mereka adalah 21 daripada 25 ahli majlis pimpinan AMK yang terpilih dalam pemilihan parti setahun lalu.

Ketua AMK Akmal Nasir dalam reaksi balas menegaskan keputusan itu dibuat oleh mesyuarat parti yang tidak dihadiri oleh majoriti kumpulan 21 ini.
The Malaysian Insight difahamkan hanya hanya 3 daripada mereka hadir semasa keputusan menjemput Dr Wan Azizah dibuat dalam mesyuarat pimpinan AMK pada 20 Oktober.
Kelmarin juga, Ketua AMK Akmal Nasir mendedahkan pihaknya menarik balik jemputan sebagai perasmi kongres kepada Azmin selepas beliau tidak memberi jawapan balas walaupun sudah enam minggu surat dihantar kepadanya.
“Mesyuarat berpandangan adalah wajar menjemput Wan Azizah bagi meraikan jasa dan pengorbanan beliau sebagai Presiden Keadilan sebelum ini dan memandangkan buat pertama kalinya dalam sejarah, Keadilan memiliki timbalan perdana menteri,” kata Akmal.
Azmin dalam reaksinya mendakwa keputusan AMK didalangi “tangan ghaib”, yang boleh memecah-belahkan parti.
Akmal bagaimanapun membidas dengan berkata Azminlah sebenarnya tangan ghaib yang merosakkan PKR. Beliau dalam pada itu tetap menjemput Azmin ke kongres AMK sebagai penghormatan kepada Dr Wan Azizah.
Langkah AMK itu bagaimanapun disifatkan oleh beberapa pihak dalam parti termasuk lapan pimpinan kanan di Sarawak sebagai melanggar tradisi parti sejak penubuhannya dua dekad lalu.
Seorang sumber AMK memberitahu sayap itu akan turut menyampaikan beberapa anugerah kepada pemimpin dan pihak yang berjasa kepada parti.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR Haniza Talha semalam mengesahkan pihaknya akan mengekalkan tradisi timbalan presiden merasmikan kongres sayap.
Haniza diketahui menyokong Azmin semasa pemilihan parti setahun yang lalu, ketika jawatan timbalan presiden yang beliau sandang sejak 2010 dicabar oleh Rafizi Ramli. – 16 November, 2019.
Komen