KAJI selidik pengundi yang merumuskan Barisan Nasional (BN) mendahului sokongan dalam kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai hanyalah perang psikologi menjelang hari pengundian esok, kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata kajian oleh pihaknya sendiri mendapati Pakatan Harapan (PH) sebenarnya yang mendahului kempen.
Beliau berharap sokongan sepanjang kempen sejak 2 November lalu akan diterjemahkan sebagai undi esok.
“Laporan yang mengatakan BN menang hanya psywar (perang psikologi). Saya sudah lalu banyak pilihan raya, macam PRU14 lalu… (orang kata) Pakatan tidak boleh menang tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
“Tetapi kajian yang kami buat dengan badan pemikir menunjukkan kita mendahului setakat hari ini. Berapa peratus saya tidak perlu beritahu. Bagi saya keadaan terakhir ini agak kritikal.
“Kita harap kita boleh buat lebih daripada keputusan sebelum ini tetapi apa yang lebih penting pada kami adalah untuk menang walaupun dengan satu undi,” katanya dalam sidang media terakhir di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan PRK Tanjung Piai, hari ini.
Setakat ini dua daripada tiga kaji selidik di Tanjung Piai meramalkan BN akan merampas semula kerusi Parlimen kawasan itu daripada PH.

Badan penyelidik Ilham Centre dan Institut Strategi dan Integriti Terengganu (TSIS) merumuskan ada trend pengundi yang dulu mengundi PH kali ini akan mengundi BN kerana kecewa kerajaan tidak melaksanakan manifesto pilihan raya.
Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pula merumuskan PH mendahului BN lebih sembilan mata apabila 53% daripada 1,200 responden kajian berkata mereka akan mengundi calon PH Karmaine Sardine sementara 44% lagi memilih calon BN Wee Jeck Seng.
Menurut Muhyiddin, perbezaan dapatan tiga kajian tersebut disebabkan terdapat keadaan tertentu di mana sukar bagi mana-mana pihak mengukur sikap pengundi terkini.
“Kita dapati ada sesetengah kawasan di sini, dahulunya kawasan hitam, Umno dan BN kuat.
“Mereka ini tidak bersedia untuk menunjukkan sikap secara terbuka. Di sini akan timbul pelbagai reaksi yang tidak baik terhadap PH. Kajian dibuat secara rawak,” katanya.
Beliau juga mengakui di peringkat awal kempen, sokongan pengundi terhadap PH agak kurang namun pihaknya berjaya mengatasi perkara itu di minggu terakhir kempen yang berakhir tengah malam ini.
“Awal-awal agak perlahan sedikit tetapi akhir-akhir keadaan semakin memuncak, yang menunjukkan minat pengundi untuk mengikuti PRK amat baik.
“Harapan saya itu adalah petanda mereka akan beri sokongan kepada Pakatan Harapan,” ujarnya. – 15 November, 2019.
Komen