84% pengguna berpuas hati dengan pengangkutan awam, kata Najib


Noel Achariam

Hampir 84% pengguna berpuas hati dengan sistem pengangkutan awam bandar, kata Perdana Menteri Najib Razak. Maklum balas pengguna yang positif ini boleh dilihat dalam kajian yang dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2016. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Oktober, 2017.

HAMPIR 84% pengguna berpuas hati dengan sistem pengangkutan awam bandar, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Najib berkata maklum balas pengguna yang positif ini boleh dilihat dalam kajian yang dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2016.

“Indeks Kepuasan Pengguna (CSI), sebuah kajian bebas dijalankan SPAD menunjukkan 84% responden berpuas hati dengan pengangkutan awam bandar.

“Ini adalah peningkatan 10% daripada 2015,” katanya pada simposium bertemakan “Reimagining Transportation: Sustainable Mobility” hari ini.

Najib mengatakan hasil kajian ini mencerminkan kerajaan berada pada landasan yang tepat dalam perancangan dan pelaksanaan inisiatif di bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara.

“Agenda pengangkutan awam darat bukan hanya soal projek infrastruktur mega, yang tanpa ragu menjana manfaat besar ekonomi kepada negara. Apa yang lebih penting adalah ia membuka jalan kepada produktiviti yang lebih tinggi dan persekitaran kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.”

Najib juga mengatakan purata penggunaan pengangkutan awam harian semua jenis pengangkutan untuk tempoh Januari hingga Ogos 2017 telah meningkat.

‘Penggunaan meningkat signifikan sebanyak 12% iaitu daripada 570,021 kepada 638,605.

“Untuk terus menarik pengguna dengan menjadikan pergerakan lebih lancar, SPAD tidak lama lagi akan melancarkan Pelan Perjalanan pada penghujung 2017 dan melaksanakan sistem bayaran bersepadu (ICPS) pada 2019. “

Najib turut berkata yang sejak sedekad lalu, kerajaan sudah melabur berbilion untuk membina dan menaik taraf jaringan keretapi.

Ini katanya terpakai untuk jaringan antara bandar dan di dalam Greater Kuala Lumpur/ Lembah Klang.

“Kami sudah meluaskan jaringan keretapi dalam bandar daripada 279km kepada 369km kini dan ia akan diluaskan kepada 505km dengan siapnya LRT3, MRT2 dan MRT3.

“Menjelang 2027, apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR), JB-Woodlands (Utara) RTS dan jaringan keretapi bandar lain disiapkan, jarak landasan negara akan mencecah 3,000km, meningkat 65% berbanding jaringan keretapi sedia ada yang merupakan penambah baikan infrastruktur yang besar.

Najib berkata 10 tahun daripada sekarang, sektor pengangkutan awam akan melonjakkan penciptaan lebih kurang 100,000 pekerjaan teknikal dan kejuruteraan tinggi.

“Akan ada peluang dalam projek besar, seperti HSR, ECRL dan MRT.

“Ia akan menjadi latar belakang sistem pengangkutan kita. Jika kita buat betul-betul, kita mungkin boleh mengeksport kepakaran Malaysia berkualiti dan bernilai tinggi ke luar negara untuk membantu pembinaan projek infrastruktur mega yang negara lain yang memerlukan bantuan pakar.

“ Ini adalah beberapa manfaat yang kita boleh perolehi ketika kita terus membina projek untuk rakyat dan pelaburan pengukuhan modal insan kita.” – 23 Oktober, 2017.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen