KEADAAN tegang seketika di Mahkamah Tinggi hari ini apabila saksi pendakwa raya dan peguam bela bertikam lidah pada perbicaraan kes bunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan.
Bekas pegawai polis Nur Ronal Adnes Amir hilang pertimbangan apabila peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah menuduhnya berbohong.
Insiden itu berlaku ketika Shafee meneruskan pernyataan saksi tentang apa yang berlaku pada 14 Jun 2018, hari di mana Nazrin ditemui mati di bilik tidur di rumahnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan dua remaja dituduh membunuhnya.
“Dalam kenyataan saksi, anda mendakwa pegawai pertama mengiringnya (Samirah) hingga ke bilik.
“Tetapi kami ada saksi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mendakwa beliau adalah orang yang membawa tertuduh ke tingkat atas untuk memeriksa suaminya.
“Saya katakan anda berbohong,” kata Shafee dengan tegas.
Nur Ronal tidak bersetuju dengan Shafee dan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman bahawa dia naik ke atas bersama Samirah dan duduk di sebelahnya ketika memeriksa badan suaminya.
“Anggota bomba tiba sebelum saya. Jadi saya tahu berapa kali Samirah naik ke bilik.
“Dia mungkin telah naik atas sebelum saya. Apa yang saya tahu, ketika berada di sana, saya iringinya ke bilik,” katanya yang berusia 38 tahun dan menjawat jawatan lans korporal di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Semasa membuat penjelasan Nur Ronal meninggikan suaranya dan menentang soalan Shafee.
“Jangan gaduh dengan saya,” kata Shafee. – 15 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen