PENGERUSI Bersatu Muhyiddin Yassin meminta calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng menyatakan pendiriannya berhubung undang-undang hudud selepas partinya MCA dilihat bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Muhyiddin yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata, MCA merupakan parti yang paling takut dengan PAS apabila parti Islam itu memperjuangkan undang-undang Islam.
“Saya Islam tetapi PAS kata dia lebih Islam sebab itu dia mahu buat hudud. Barisan Nasional tentang PAS dahulu dan yang paling takut adalah MCA.
“Tetapi sekarang MCA bersama dengan Umno dan PAS. Apa pendirian Jeck Seng? BN sudah rosak bila bersama dengan PAS,” katanya di hadapan pengundi Cina ketika berkempen di Taman Utama, Pekan Nenas malam tadi.
Pada November 2016, kerajaan Barisan Nasional telah memberi laluan kepada (Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dibacakan di Dewan Rakyat.
Tindakan tersebut ditentang MCA yang menegaskan tidak akan menyokong RUU Persendirian bagi memperkasa Mahkamah Syariah itu.
Ketika pembentangan tersebut dibuat, Muhyiddin bukan lagi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional selepas dipecat beberapa bulan sebelum itu.
Menurut Muhyiddin, beliau tidak pernah percaya dengan PAS kerana parti itu merasakan mereka lebih Islam daripada orang lain.
“Umno dengan PAS tubuh Muafakat Nasional. Dahulu saya Umno, saya tidak pernah percaya dengan PAS. Tipu punya,” katanya.
Parlimen Tanjung Piai mempunyai pengundi berdaftar seramai 52,986 yang dipecahkan kepada dua DUN iaitu Kukup dan Pekan Nenas.
DUN Pekan Nenas mempunyai 26,608 pengundi di mana 45% daripadanya adalah kaum Cina manakala Dun Kukup mempunyai 26,920 pengundi di mana 60% daripadanya adalah dari kalangan orang Melayu.
PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru calon PH Karmaine, calon BN Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar. – 15 November, 2019.
Komen