SPRM terima banyak permintaan syarikat sertai program integriti


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut Latheefa, sejak dua tahun lalu, banyak perkembangan berlaku dalam usaha-usaha pencegahan rasuah melibatkan semua pihak terutama dari sektor swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2019.  

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima permintaan menggalakkan daripada syarikat komersil untuk menyertai program latihan pegawai integriti susulan pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata “Liabiliti Korporat” yang akan dikuatkuasa mulai 1 Jun 2020 di bawah peruntukan seksyen berkenaan akan diterapkan dalam organisasi kerajaan dan mana-mana entiti “organisasi komersil”.

“Sejak kami mengumumkan pelaksanaan seksyen baru itu, kami terima permintaan yang menggalakkan daripada syarikat komersil untuk menubuhkan unit integriti, menghantar pegawai sendiri untuk ditauliahkan sebagai pegawai integriti selain menjadikan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MaCa) sebagai rujukan utama dalam mewujudkan pelan anti rasuah syarikat,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), hari ini.

Menurut Latheefa, sejak dua tahun lalu, banyak perkembangan berlaku dalam usaha-usaha pencegahan rasuah melibatkan semua pihak terutama dari sektor swasta. 

“Perkara ini menjadi titik permulaan kesedaran dan pematuhan kepada semua organisasi komersil dengan memastikan menutup ruang dan peluang rasuah dalam menjalankan perniagaan dengan jujur dan berintegriti. 

“Oleh yang demikian, sektor swasta telah mengambil inisiatif dengan menghantar pegawai mereka menjalani program CeIO yang ditawarkan oleh MACA dan pada hari ini mereka telah ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah dengan jayanya. Mereka ini akan memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan dan pencegahan rasuah di dalam organisasi mereka,” katanya.

Beliau turut berkata sambutan sektor swasta lebih menggalakkan apabila ramai pegawai integriti dihantar bagi menjalani program CeIO selama empat minggu sebelum ditauliahkan.

“Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu memastikan sistem penyampaian perkhidmatan di sektor awam dan swasta dilaksanakan berasaskan kepada prosedur, peraturan dan undang-undang yang telah termaktub. 

“CeIO juga tidak boleh bertolak ansur sama sekali dengan amalan atau perlakuan tidak berintegriti penjawat awam yang lain. Justeru, pegawai ini sewajarnya memiliki dan mengamalkan integriti pada setiap masa,” katanya.

Sebelum ini, agensi itu mengumumkan bakal melaksanakan undang-undang baharu yang membolehkan syarikat terlibat rasuah didakwa. 

Pelaksanaan itu adalah bagi memenuhi tanggungjawab antarabangsa di bawah Artikel 26 ‘United Nation Convention Against Corruption (UNCAC)’ yang merujuk kepada ‘Liability Of Legal Person’.

Sebelum peruntukan itu wujud, Akta SPRM 2009 hanya tertumpu kepada pendakwaan atas ‘natural person’ iaitu individu yang terlibat dengan rasuah sahaja.

Seksyen 17A telah diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018. – 14 November, 2019. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen