PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam wajar menghentikan “serangan berbisa” mereka ke atas badan kehakiman berkaitan keputusan dua kes kontroversi baru-baru ini, kata Badan Peguam.
“Serangan tidak matang, berbisa dan semborono ke atas mahkamah tidak wajar dibuat dan perlu dielakkan sepanjang masa,” kata Presiden Badan Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor, merujuk kepada kenyataan dikeluarkan kedua-dua pemimpin Umno itu sejak minggu lepas.
Zahid mengecam badan kehakiman kerana penghakiman membebaskan seorang wanita di Johor Bharu yang berdepan tuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak.
Lokman pula lantang mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masuk campur dalam penghakiman kes SRC International melibatkan Najib Razak.
Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Johor Bharu melepas dan membebaskan seorang pembantu jualan Sam Ke Ting, 24, daripada dakwaan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan yang membunuh lapan remaja basikal lajak, dua tahun lepas.
Dalam ucapannya di Tanjung Piai, Zahid berkata, bila lapan budak bermain basikal di Johor dilanggar pemandu wanita, dia dibebaskan seolah-olah langsung tiada bukti.
Awal minggu ini, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah majistret itu.
Abdul Fareed menyifatkan ulasan Zahid terhadap kes itu dibuat secara “semborono” yang boleh menyebabkan rakyat merasakan hakim “membuat keputusan dengan mengambil kira faktor yang tidak perlu dipertimbangkan.”
Sementara Lokman pula menududh Dr Mahathir masuk campur dalam penghakiman kes SRC International, apabila Najib diarahkan membela dirinya.
Abdul Fareed berkata Badan Peguam berpandangan kenyataan kedua-dua pemimpin Umno itu “tidak beradab dan penuh kebencian”.
Tambahnya, kedua-dua kes itu masih dalam peringkat awal proses keadilan dan ulasan sedemikian melampau had kebebasan kritikan yang adil serta mewujudkan kecurigaan kepada badan kehakiman. – 14 November, 2019.
Komen