Tak perlu layan permintaan India untuk ekstradisi Dr Zakir Naik, kata PAS


Muzliza Mustafa

Kerajaan India mendakwa pendakwah terkenal Dr Zakir Naik membiayai aktiviti keganasan melalui Yayasan Penyelidikan Islam (IRF). – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.

MALAYSIA tidak perlu melayan permintaan kerajaan India untuk mengekstradisi pendakwah Dr Zakir Naik kerana beliau merupakan tokoh terkenal dunia dan dihormati kerana pengetahuannya, kata PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata, “ekstremisme hanya satu alasan” yang digunakan terhadap pendakwah Islam antarabangsa itu untuk menghalangnya daripada menyampaikan ceramah. 

“Terdapat ramai pendakwah Islam yang dihukum gantung sampai mati menggunakan alasan mereka terlibat dengan pengganas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PAS dan rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran perlu menyokong Zakir dan melindunginya daripada diekstradisi kembali ke India. 

Nasruddin berkata, Zakir juga merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 2013. 

Kepetahannya berhujah menyebabkan ramai yang menerima Islam sebagai agama mereka. 

“Ini sebenarnya yang ditakuti pihak lain,” kata Nasruddin. 

Baru-baru ini, Agensi Penyiasatan India (NIA) menghantar laporan siasatan berhubung dakwaan aktiviti keganasan Zakir kepada Kementerian Dalam Negeri di New Delhi. 

The Times of India pada dua hari lepas melaporkan agensi itu telah meminta persetujuan kementerian berkenaan untuk pendakwaan terhadap Zakir. 

Katanya ia merupakan langkah untuk mengekstradisi pendakwah terkenal itu dari Malaysia dan Arab Saudi, yang turut menjadi tempat tinggalnya. 

Zakir kali terakhir dilihat pada 29 September lalu ketika solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya. Gambarnya dimuat naik ke Facebook dan menjadi tular di media sosial. 

Zakir juga dikehendaki pihak berkuasa di India kerana didakwa membiaya kegiatan pengganas.

NIA turut menamakan pendakwah terkenal itu sebagai “suspek pengganas” dalam suratnya kepada Interpol. Zakir membalasnya dengan menggesa agensi penguatkuasaan undang-undang mencabar “notis merah” yang dimohon India untuk menahannya.

Menurut laporan itu, NIA memaklumkan Interpol dua bulan lalu bahawa pihaknya mempunyai bukti Zakir melanggar undang-undang India dan berkata beliau disiasat kerana membiayai kegiatan pengganas menerusi Yayasan Penyeludikan Islam (IRF).

Zakir bagaimanapun gagal menghadirkan diri kepada pihak berkuasa India walaupun beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya dan pasportnya dirampas oleh Pejabat Pasport Serantau di Mumbai. 

Dakwaan ke atas Zakir bermula selepas serangan pengganas di Dhaka, Bangladesh tahun lalu yang mengakibatkan 29 orang maut, termasuk tebusan, NIA dilaporkan sebagai berkata. 

IRF juga diharamkan kerana didakwa menjadi sebuah organisasi anti kebangsaan, tambahnya. 

Zakir kemudiannya meninggalkan India untuk mengelak daripada ditangkap selepas beberapa pelaku serangan di Dhaka mendakwa mereka melakukan serangan selepas terpengaruh dengan khutbah Zakir.

Zakir diberikan status pemastautin tetap di Malaysia lima tahun lalu. 

Berikutan Malaysia tidak memberikan sebarang reaksi daripada dakwaan India dan waran yang dikeluarkan terhadap Zakir, satu kumpulan aktivitis bertindak memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia dalam usaha untuk menahan Zakir dan membawa pulang pendakwah itu. 

Selain PAS, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) turut mempertahankan Zakir dan haknya untuk berada Malaysia. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Fundamentalis melayu sudah bersuara

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan