BN tak ikhlas perjuang semua kaum, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad disambut ketika tiba di Tanjung Piai, berkempen untuk calon PH Karmaine Sardini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2019.

BARISAN Nasional (BN) tidak ikhlas memperjuang hak semua kaum kerana akan memainkan sentimen perkauman apabila mendekati kelompok kaum berbeza, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata kerjasama parti yang berkempen itu hanya untuk menang pilihan raya sedangkan mereka tidak sependapat dalam pelbagai hal.

“Itu tiada ikhlas, hipokrit. Di depan konon pejuang Melayu. Bila datang sini, bukan Melayulah, kira kepentingan hendak menang pilihan raya sahaja. Cakap lain buat lain,” katanya.

Antara parti yang giat menyokong calon MCA itu adalah PAS, yang membentuk kerjasama dengan Umno melalui muafakat nasional demi kepentingan orang Melayu.

Perkara itu menunjukkan sikap perkauman parti berkenaan, kata Dr Mahathir.

“BN yang mainkan sentimen perkauman. Pertamanya mereka cuba bercakap berkenaan dengan ras, kononnya (gabungan) orang Melayu Islam tetapi bila hendak suruh mengundi, calon dia bukan Islam.

“Mereka cakap saja kononnya hendak tolong orang Melayu tetapi tidak mungkin. Di Malaysia seorang wakil rakyat adalah wakil kepada semua kaum,” katanya kepada pemberita di Pekan Nenas.

Tambahnya, beliau akan mempertimbangkan sama ada calon PH Karmaine Sardini akan mengisi jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kini kosong.

“Itu perkara yang kita timbang kemudian. Kita kira menang dulu,” katanya ketika ditanya pemberita.

Jawatan tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Karmaine ditentang calon BN Wee Jeck Seng dan empat calon lain dalam PRK Tanjung Piai akan berlangsung pada Sabtu. – 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen