Malaysia tuntut penjelasan agensi AS isu penarafan CAAM


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhar di Tanjung Piai hari ini berkata FAA tidak wajar menurunkan taraf keselamatan CAAM tanpa penjelasan munasabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2019.

MALAYSIA akan menuntut penjelasan agensi Amerika Syarikat (AS) yang menurunkan taraf keselamatan penerbangan Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) kata perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad berkata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) tidak wajar menurunkan taraf keselamatan CAAM tanpa penjelasan munasabah.

Tegasnya, Malaysia berjaya membuktikan kemampuan dengan mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain beberapa lapangan terbang di luar negara.

“Kita hendak tahu apa sebenarnya penurunan ini, apa kesannya dan kita akan atasi. Kalau kata kita tidak cekap atau sebagainya, kita telah tunjuk bahawa KLIA ini adalah antara 20 lapangan terbang yang terbesar di dunia.

“Bahkan mereka diberikan kepercayaan mengurus lapangan terbang di Turki. Bukan kecil. Digunakan 31 juta orang dan diurus oleh orang kita.

“Dan sekarang ini pun ada jemputan daripada negara-negara lain untuk lapangan terbang diurus supaya selamat dengan orang kita,” katanya pada sidang media di Pekan Nenas hari ini.

FAA menurunkan penarafan CAAM dalam satu laporan kerana didakwa gagal memenuhi piawai keselamatan antarabangsa.

Ia susulan audit kawalan selia yang dijalankan April lalu ke atas agensi Malaysia itu di bawah program Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA).

Menurut badan AS itu, CAAM gagal memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan menerima penarafan Kategori 2.

Bagaimanapun, CAAM dalam maklum balasnya yakin akan memenuhi semua syarat ditetapkan oleh FAA dalam tempoh 12 bulan, dan akan kembali berada dalam Kategori 1 dalam 24 bulan.

Penilaian itu tertakluk kepada pengawal selia penerbangan dan bukan kepada lapangan terbang atau syarikat penerbangan.

Namun ia tidak bermakna syarikat penerbangan yang mendapat lesen daripada CAAM tidak dapat menambah laluan penerbangan baharu ke dan daripada AS. – 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen