Wakil CAGED diganggu kerana hebohkan kes, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Jufazli Shi Ahmad berkata beliau ditahan kerana mengkritik dan menghina Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, selama empat hari tanpa diketahui sesiapa pun di mana beliau berada. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2019.

SEORANG aktivis mendakwa polis menakut-nakutkan Rama Ramanathan kerana melaporkan kehilangannya dalam tahanan polis selepas soal siasat dan merampas telefon bimbit serta komputer riba miliknya.

Jufazli Shi Ahmad, yang sebelum itu ditahan kerana didakwa mengkritik dan menghina Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mendakwa polis mengikut arahan langsung daripada pemimpin tertentu.

“Ini intimidasi. Kerajaan tidak berpuas hati selepas saya dibebaskan oleh mahkamah. Mereka perlu cari cara lain untuk kenakan saya,” kata Jufazli, 28, kepada The Malaysian Insight.

“Encik Rama menonjolkan kes saya. Saya diculik oleh polis pada 16 Mac, 2019. Selama empat hari tidak ada siapa tahu di mana saya berada.

“Ini adalah arahan langsung daripada pihak tertentu dalam kerajaan dan polis hanya ikut arahan.”

Polis memanggil Rama daripada Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED) minggu lalu dan menyoal siasatnya berhubung satu artikel di blog oleh Jufazli, di mana beliau berkata hampir menjadi mangsa “kehilangan paksa”.

Rama sebelum ini menulis tentang kes kehilangan paksa membabitkan Pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis Hope, Amri Che Mat.

Kedua-duanya dikatakan diculik oleh Cawangan Khas dalam operasi gaya komando, menurut siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam artikel terbarunya, Rama menulis tentang bagaimana polis mungkin sudah menculik Jufazli dan kakaknya, Nurazimah, kalau tidak kerana Nurazimah memberitahu rakan-rakannya dan mengambil beberapa langkah bagi memastikan orang lain tahu di mana mereka berada ketika mereka ditahan.

Wakil CAGED, Rama Ramanathan disiasat polis minggu lalu berhubung satu artikel di blog oleh Jufazli Shi Ahmad, di mana beliau berkata hampir menjadi mangsa kehilangan paksa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2019.

Jufazli dituduh mengkritik perdana menteri menerusi Facebook di mana beliau mendakwa negarawan berusia 94 tahun itu menyalahgunakan kuasa.

Beliau selama ini menyokong usaha Pakatan Harapan (PH) untuk menggantikan rejim Barisan Nasional tetapi berkata beliau tidak berpuas hati dengan cara PH mengendalikan rasuah di negara ini.

Jufazli berkata walaupun 1Malaysia Development Bhd adalah skandal besar, ada banyak kes lain yang PH tidak tangani, termasuk membabitkan Yang Di-Pertua Sarawak Pertua Abdul Taib Mahmud, ketika menjadi ketua menteri.

“Anda ada perdana menteri (Dr Mahathir) yang pernah atau masih lagi berkawan dengan Taib, (bekas ketua menteri Sabah) Musa Aman dan mereka ini dikenali dengan skandal rasuah berjuta ringgit.

“Sudah hampir dua tahun tetapi satu pertuduhan pun tidak dikenakan kepada mereka ini,” kata Jufazli.

Aktivis itu, yang menyiapkan tesis sarjananya berkenaan rasuah di Malaysia, berkata beliau tertarik dengan subjek itu tetapi penyelidikannya juga menunjukkan bagaimana kerajaan mengendalikan kes berkenaan secara terpilih.

Minatnya terarah kepada Taib, yang memimpin kerajaan negeri Sarawak selama 33 tahun, di mana aktivis tempatan dan antarabangsa mendakwa beliau memperoleh jutaan ringgit daripada tanah yang diambil daripada masyarakat orang asal.

Tempoh Taib menjadi ketua menteri saing dengan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, kira-kira sepanjang dua dekad.

Jufazli menerbitkan buku berkenaan Taib bertajuk: “Membina Empayar: Governan Abdul Taib Mahmud in Sarawak”.

Kali pertama beliau berdepan dengan tindakan undang-undang ialah pada 2017, ketika beliau mengkritik Musa yang pada masa itu ketua menteri Sabah, kerana terbabit dengan rasuah berkenaan projek balak.

Tiada tindakan dikenakan terhadapnya susulan siasatan digugurkan selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan tahun lalu.

Kerana mengkritik Dr Mahathir di bawah kerajaan baharu, beliau ditahan reman empat hari dari 16 Mac hingga 19 Mac, dan hanya dibenarkan mendapatkan khidmat peguam pada 20 Mac.

Jufazli dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk melanjutkan tahanannya.

Mahkamah juga mendapati polis “tidak ada bidang kuasa” untuk masuk ke rumah Nurazimah dan menahan mereka. – 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen