KETUA Polis Negara tidak akan terkecuali daripada disiasat di bawah Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.
“Semua anggota pasukan polis tidak terkecuali daripada tertakluk atau disiasat di bawah IPCMC, termasuk Ketua Polis Negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Hanipa berkata, semua aduan yang diterima IPCMC terhadap KPN akan disiasat di bawah Seksyen 24, sama sebagaimana aduan yang dibuat terhadap pegawai lain.
“Selepas IPCMC selesaikan siasatannya dan sekiranya didapati ada salah laku, tindakan disiplin akan diambil ke atas KPN yang akan dijalankan oleh Lembaga Disiplin Khas yang ditubuhkan oleh ketua setiausaha kerajaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan daripada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai sama ada KPN akan dikecualikan daripada IPCMC seperti yang dinyatakan dalam Rang Undang-undang IPCMC. – 13 November, 2019.
Komen