PILIHAN raya kecil Tanjung Piai bergantung kepada pengundi atas pagar, yag merupakan 15% daripada keseluruhan pengundi di kerusi Parlimen berkenaan di Johor, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Dengan tempoh berkempen yang berbaki hanya tiga hari sebelum hari pengundian pada Sabtu ini, beliau berkata setakat ini sokongan adalah “menggalakkan”.
“Respons dari pengundi Melayu dan Cina adalah baik setakat ini dan kempen kini sudah mencapai peringkat kritikal.
“Namun semuanya bergantung kepada 15% atau kira-kira 8,000 pengundi atas pagar,” katanya yang juga ahli Parlimen Pagoh di Pontian hari ini.
Beliau berkata, PH telah mengenal pasti kumpulan ini sebagai pengundi atas pagar dan akan menggunakan sepenuhnya baki tempoh berkempen ini untuk cuba meyakinkan mereka.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 52,986 pengundi berdaftar di Tanjung Piai. Pecahan berdasarkan kaum adalah 57.65 Melayu, 41.4% pengundi Cina dan 1% India.
Dalam masa yang sama katanya, PH juga masih menghubungi pengundi luar untuk pulang dan mengundi.
“Kami telah menghantar surat dan cuba menghubungi mereka dan kita harap mereka akan pulang mengundi.”
Menurut Muhyiddin, pengundi luar terdiri daripada 7,000 hingga 8,000 orang dan berusia antara 25 hingga 45 tahun.
“Dari sudut positif, hampir kesemua pengundi di Tanjung Piai yang menetap di sini menyatakan mereka akan mengundi. Ia sangat luar biasa namun menggalakkan.”
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga akan berucap pada ceramah di kawasan Barisan Nasional iaitu di Kukup malam ini.
Beliau juga dijangka akan bertemu pengundi di Pekan Nanas esok. – 13 November, 2019.
Komen