Kes Ronnie Liu akan dibawa ke Majlis Presiden, kata Syed Saddiq


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Beliau mengulas keputusan Lembaga Displin DAP yang tidak mengenakan apa-apa tindakan tatatertib ke atas ahli jawatankuasa pusat itu yang giat mengkritik Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2019.

KEPUTUSAN DAP melepaskan pemimpin parti itu, Ronnie Liu daripada tindakan disiplin tetap akan dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perkara itu bagaimanapun akan hanya dibincangkan selepas PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada Sabtu, katanya.

“Saya rasa perkara paling mustahak sekarang adalah untuk fokus kepada PRK Tanjung Piai.

“Dan apa-apa perbincangan susulan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Presiden PH seperti apa yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen.

Beliau mengulas keputusan Lembaga Displin DAP yang tidak mengenakan apa-apa tindakan tatatertib ke atas ahli jawatankuasa pusat itu yang giat mengkritik Dr Mahathir Mohamad.

Liu yang juga bekas anggota Exco Selangor antara lain mendakwa beberapa tindakan kerajaan pimpinan Dr Mahathir bertentangan dengan agenda pembaharuan PH.

Sebelum ini kenyataan Liu mengundang kecaman pemimpin Bersatu termasuk Syed Saddiq yang mengisytiharkan sayap pemuda pimpinannya sedia “berperang” dengan DAP.

Liu dirujuk ke jawatankuasa displin DAP oleh setiausaha parti, Anthony Loke atas kritikan dalam tulisannya bertajuk Mahathir: Harimau Kertas itu.

Pengerusi lembaga itu, Chong Chien Jen semalam mengumumkan keputusan tidak mengenakan sebarang tindakan tatatertib selepas meneliti “penjelasan panjang lebar” Liu.

Keputusan itu diumumkan sehari selepas Bersatu mempertahankan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang turut meraih kontroversi atas satu kenyataannya ke atas DAP.

Rakaman ucapannya itu antara lain menyebut beliau seorang diri memerangi DAP untuk mempertahan Melayu dan Islam.

Ucapan dalam satu pertemuan bersama pengundi semasa kempen PRK Tanjung Piai itu dirakam dalam satu video dan tersebar luas.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu bagaimanapun mempertahankan Faizal yang menurutnya hanya menerangkan kepada sekumpulan orang Melayu tentang keadaan pentadbirannya di Perak. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen