Tg Piai akan buktikan jika kerjasama PAS-BN diterima


SM Amin

Umno melihat kerjasama BN dengan PAS itu adalah kesinambungan kepada kerjasama Umno dengan parti Islam tersebut dalam yang dimeterai dalam Piagam Muafakat Nasional September lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 November, 2019.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada Sabtu akan membuktikan sama ada PAS dan BN dapat bekerjasama dan diterima pengundi dalam PRU15 akan datang.

Perkara itu diakui Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin yang turut melihat PRK itu sebagai peluang memperbaiki imej parti tersebut di mata pengundi.

“Kita rasa PRK Tanjung Piai ini ujian pertama untuk kita lihat kerjasama pada masa akan datang. Kita cuba betul-betul menterjemahkan piagam Muafakat Nasional itu.

“Bila MCA bertanding, dengan sendirinya dapat menafikan dakwaan orang kita rasis, kita taliban,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perkara itu akan dapat menjadi penilaian memandangkan 42% daripada kira-kira keseluruhan 53,000 pengundi kawasan Parlimen itu terdiri daripada kaum Cina.

Tambahnya, PRK itu juga menjadi medan terbaik untuk PAS dan MCA saling mengenali antara satu sama lain, walau tidak membentuk sebarang persefahaman untuk bekerjasama secara rasmi.

Untuk itu, PAS mengerahkan jenteranya di 26 kawasan Parlimen di Johor untuk membantu calon MCA, selain sumbangan tenaga jenteranya dari negeri lain, katanya.

“PRK ini menjadi titik tolak untuk MCA dan PAS saling mengenali. Inilah ujian pertamanya. Wujud penyelarasan dari segi gerak kerja antara MCA dan PAS walaupun tidak secara rasmi.

“Kita juga sudah bersetuju, selepas PRK ini akan mengorak langkah untuk kerjasama yang lebih erat,” katanya.

Umno pula melihat kerjasama BN dengan PAS itu adalah kesinambungan kepada kerjasama Umno dengan parti Islam tersebut dalam yang dimeterai dalam Piagam Muafakat Nasional September lalu.

“Kita rasa penyatuan orang Melayu sudah baik bila Umno dan PAS bekerjasama. Sebab itu kita buka ruang dan panggil Muafakat Nasional kerana penyatuan ummah itu kecil skopnya,” katanya.

Jelasnya, PRK Tanjung Piai merupakan platform terbaik untuk Umno dan PAS memberikan isyarat kepada seluruh rakyat di negara ini bahawa kedua-dua parti itu bukan rasis.

“PRK Tanjung Piai ini medan untuk kita beri isyarat yang sangat kuat kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum bahawa Umno dan PAS tidak rasis.

“Meletakkan calon MCA bukti Umno dan PAS berjaya menterjemahkan semangat Muafakat Nasioal,” katanya.

PAS mengerahkan jenteranya di 26 kawasan Parlimen di Johor untuk membantu calon MCA, selain sumbangan tenaga jenteranya dari negeri lain – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 November, 2019.

Tambah Adun Rantau itu, beliau melihat rakyat sudah bersama dengan PAS dan Umno dalam satu gelombang kerana kecewa dengan pentadbiran PH.

“Hari ini ombak sudah bersama dengan kita. Orang meluat dengan Pakatan Harapan. Orang sudah melihat Muafakat Nasional sebagai satu ombak yang baru,” ujarnya.

Pada peringkat awal Umno bahagian Tanjung Piai mendesak untuk bertanding dengan meletakkan ketua bahagiannya Jefridin Atan sebagai calon.

Jefridin juga pada waktu itu memberitahu The Malaysian Insight, mereka mendesak MCA menyerahkan kerusi tersebut kerana parti itu gagal mengekalkan sokongan pengundi selama ini.

Beberapa pengundi yang ditemui The Malaysian Insight pula berkata mereka bagaimanapun sudah boleh menerima alasan untuk calon MCA bertanding di kawasan itu.

Seorang penyokong parti itu, Abdul Karim Othman, berkata beliau dijelaskan oleh jentera Umno dan PAS bahawa kerjasama dua parti sahaja tidak cukup untuk mengambil alih kerajaan.

“Peringkat awal hari itu ramai mahukan Jefridin sehingga ada yang hendak boikot kalau letak orang lain. Tetapi kita ingat, orang atas lebih tahu. Yang di bawah ini hanya tahu hendak marah sahaja.

“Kita tidak boleh hidup sendiri. PAS mahupun Umno yang besar itu tidak akan mampu untuk tawan Malaysia jika masing-masing bergerak sendiri,” kata Abdul Karim, 72.

Seorang lagi pengundi, Ahmad Muhammad juga melihat calon dari MCA, Wee Jeck Seng sudah boleh diterima kerana mereka akan mengundi parti BN.

“Masalah calon Cina saya lihat masyarakat sini sudah boleh terima… Kita bukan pilih Cina tetapi kita melihat kepada parti.

“Apabila BN letak letak MCA dan PAS pula menyokong, orang atas ini mesti sudah ada kira-kiranya,” kata Ahmad, 58.

Seorang lagi, Hairudin Awang Chik, 55, berpendapat PRK Tanjung Piai ini peluang terakhir untuk BN membuktikan kemampuan menawan Putrajaya selepas diasak begitu teruk dalam  PRU14.

“Kita berada di hujung benua Asia. Kalau kita fikir dari segi pemikiran pahlawan, kita sudah didesak sehingga hujung.

“Inilah perlawanan kita yang terakhir untuk buktikan kemampuan BN tawan semula kerajaan,” katanya yang menetap di Singapura.

PH meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk mempertahankan kerusi itu dalam pemilihan 16 September.

Empat lagi calon yang bertanding termasuk Presiden Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam.

Dua lagi calon bertanding atas tiket Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Ang Chuan Lock, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, yang mewakili kumpulan pemandu teksi. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen