KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dasuki menggesa Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen untuk menyelesaikan isu peralihan kuasa perdana menteri.
Beliau mendakwa sudah menjadi rahsia umum Dr Mahathir tidak akan menyerahkan kuasa perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Kita tahu beliau dalam dilema kerana takut hendak serah kuasa kepada Anwar. Dr. Mahathir tidak akan serah kuasa kepada Anwar.
“Kita hormat Dr. Mahathir sebagai atuk. Kita nasihat atuk, buatlah sesuatu yang betul buat kali pertama dalam hidup dia.
“Satukan rakyat Malaysia dengan membubarkan parlimen. Serahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya ketika berucap dalam ceramah Pemuda Muafakat Nasional di Pekan Nanas, malam tadi.
Dr Mahathir sebelum berulang kali menegaskan beliau menghormati persetujuan Pakatan Harapan sebelum PRU14 iaitu Anwar akan jadi perdana menteri selepasnya.
Beliau juga menegaskan akan berundur sebelum pilihan raya akan datang, selepas menyelesaikan beberapa masalah negara yang sedang ditangani oleh pentadbirannya.
Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Syed Husin Ali sebelum ini berkata beliau tidak yakin Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar walaupun Pengerusi Bersatu itu berulang kali menegaskan akan mengotakan janji.
Syed Husin berkata Dr Mahathir sering mengeluarkan kenyataan yang berbeza-beza walaupun keputusan tersebut dicapai secara konsensus dengan pimpinan dalam Pakatan Harapan.
Menurut Asyraf, walaupun menjadi perdana menteri, Dr Mahathir tidak mempunyai kekuatan dalam kerajaan berbanding semasa beliau pertama kali jadi perdana menteri, bersama Barisan Nasional, kerana Bersatu hanya memenangi 13 kerusi Parlimen dalam PRU14.
“Dr Mahathir kuat semasa menjadi perdana menteri buat kali pertama kerana di belakang beliau ada Barisan Nasional. Hari ini Dr Mahathir kena lalui dua peringkat bila hendak buat keputusan.
“Pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan. Jika majlis ini tidak setuju, kabinet tidak boleh lulus. Dr. Mahathir kena mengadap Guan Eng, Wan Azizah, Mohamad Sabu,” ujarnya. – 13 November, 2019.
Komen