JANGKAKAN setiap ucapan dalam perhimpunan tahunan PAS akan diteliti. Jangkakan setiap usul atau resolusi akan diperhalusi.
Pihak tertinggi parti dan penganalisis politik percaya susulan mesyuarat minggu depan di Alor Setar, Kedah, ia akan semakin jelas yang PAS akan terus bersendirian, bukannya berganding dengan Umno atau mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan.
Keputusan untuk kekal bersendirian itu akan menjejaskan parti itu kerana ia secara tradisi namanya memang tidak baik dalam kalangan pengundi bukan Melayu. Ia berjaya menawan banyak kerusi pada 2013 hanya kerana calonnya bertanding di bawah kain rentang Pakatan Rakyat.
Bagi tempoh beberapa bulan ini, PAS yang mempunyai penyokong Melayu tegar, dipikat oleh kedua-dua bahagian, Umno dan pembangkang.
Pemimpin Pakatan Harapan percaya gabungan pilihan raya dengan PAS akan memberikan undi Melayu kepada gabungan pembangkang yang diperlukan untuk memenangi kira-kira 30 lagi kerusi Parlimen, menjadikan majoriti nipis di Parlimen.
Parti dalam Pakatan Harapan termasuk PAS pada masa ini memegang 81 kerusi di Dewan Rakyat. Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu.
Bagi pihak Umno yang diketuai presidennya, Najib Razak pula, beliau percaya pakatan pilihan raya dengan PAS akan menyebabkan pembangkang tidak akan dapat undi Melayu yang ia perlukan untuk membentuk kerajaan.
Sumber dalaman parti memberitahu The Malaysian Insight yang mereka menjangkakan parti Islam itu akan mempromosikan idea blok pembangkang ketiga, dipanggil Gagasan Sejahtera. Blok itu akan menyaksikan calon menentang kedua-duanya, BN dan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.
“Mengikut sejarah, bila BN berdepan dengan lebih daripada satu parti pembangkang, undi untuk pembangkang akan berpecah dan BN akan menang,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.
Keadaan itu dapat dilihat pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016, di mana BN berjaya mengambil kesempatan terhadap undi berpecah untuk PAS dan satu lagi parti pembangkang, Amanah.
Memutuskan ikatan terakhirnya
Keputusan mengenai pelarasan masa depan PAS akan lahir menerusi usul pada perhimpunan itu yang kemungkinan besar akan dibawa pada hari terakhir perhimpunan iaitu 1 Mei.
Dua hari pertama akan tertumpu pada pemilihan 18 ahli jawatankuasa pusat yang baharu. Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man berjaya mengekalkan jawatan masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden parti selepas menang tanpa bertanding.
Antara acara yang akan dinantikan ialah pemilihan tiga naib presiden. Calonnya ialah penyandang Mohamad Amar Abdullah, Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad. Calon keempat ialah ketua penerangan parti, Nasruddin Hassan.
Penganalisis Mohamad Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre berkata muktamar kali ini dijangka akan membawa banyak keputusan yang mengejutkan dibuat kepimpinan PAS, terutama mengenai siapa rakan kongsinya pada Pilihan Raya Umum ke-1 (PRU14).
Tetapi beliau meramalkan PAS akan terus bersendirian dan membina blok pembangkang ketiga Gagasan Sejahtera.
PAS bertanding pada PRU13 sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat, bersama PKR dan DAP. Tetapi ikatan itu terkubur selepas beberapa siri pertelingkahan dengan DAP pada 2015.
Ia masih mengekalkan ikatan politik dengan PKR, menurut kuasa yang ia masih bersama dalam kerajaan negeri Selangor.
Sumber berkata ikatan itu sangat rapuh kerana PAS merasakan PKR tidak menghormatinya apabila meneruskan kerjasama dengan DAP dan Amanah.
Kemungkinan akan ada usul dibawa pada perhimpunan itu meminta parti mempertimbangkan untuk memutuskan ikatan dengan PKR. Beberapa cawangan PAS dilaporkan berkata mereka akan membawa usul seperti itu pada muktamar.
“Usul boleh diterima dan dibahaskan, atau diterima tanpa bahas, atau ditolak,” kata Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Mustafa Ali ketika enggan mengulas mengenai usul khusus.
Usul jarang ditolak kecuali ia jelas bertentangan dengan perlembagaan parti atau Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun ada spekulasi menyatakan usul PAS bekerjasama dengan parti komponen BN, Umno akan dibentangkan pada muktamar kali ini, ia dinafikan oleh Mustafa.
“Kedudukan kita mengenai Umno sangat jelas. Kita akan melawan Umno pada pilihan raya umum,” kata Mustafa.
Hisomuddin berkata berdasarkan kepada kaji selidik dijalankan Ilham Centre, PAS akan kalah antara 20% hingga 30% ahlinya jika ia mengadakan kerjasama dengan Umno.
Tetapi, beberapa pemerhati percaya apa yang pemimpin PAS katakan kepada umum hanya berlagak untuk menunjukkan sikap lain. Parti itu terus membuka pilihannya kepada Umno dan Pakatan Harapan.
PKR bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan pada muktamar itu, kata naib presidennya, Tian Chua.
“Saya tidak mahu mendahului sebarang keputusan mereka. Kami akan memantau situasi itu dan berharap kebijaksanaan kepimpinan mereka akan membawa perwakilan kepada gabungan dengan parti politik lain,” katanya. – 23 April, 2017.
Komen