Bantuan rakyat turun kerana projek negeri pintar, kata MB Selangor


Mohd Farhan Darwis

Pelaburan untuk mencapai status negeri pintar melibatkan projek infrastruktur dan program melibatkan peruntukan RM50 juta, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

KERAJAAN Selangor mengehadkan dan menyusun semula beberapa program peduli rakyat demi memastikan negeri itu mencapai status negeri pintar, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Adun Sungai Tua itu berkata, penjajaran dan penyusunan semula inisiatif peduli rakyat itu termasuk mengehadkan pemberian air percuma yang kini hanya dinikmati kumpulan berpendapatan rendah.

“Kita hadkan penerimaan air percuma sebagai contoh, kita susun dan jajar semula dasar inisiatif peduli rakyat dan populis atau dasar peduli rakyat.

“Itu semua disusun dan diatur tak lain tak bukan supaya kita dapat maju setapak ke hadapan menolak beberapa pandangan dan mengolah beberapa polisi agar kita dapat capai kepada tujuan kita,” katanya.

Jelasnya, pelaburan untuk mencapai status negeri pintar itu melibatkan projek infrastruktur dan program melibatkan peruntukan RM50 juta.

Jumlah RM50 juta itu memfokuskan kepada perolehan alat penting untuk mencapai status negeri pintar.

“Contohnya pusat pentadbiran yang sekarang beroperasi di Bangunan Darul Ehsan dan amat baik tapi untuk beoperasi dan menganalisis data perlukan ruang yang lebih luas,” kata Amirudin lagi.

Oleh itu, beberapa tindakan yang tidak popular perlu diambil bagi mencapai matlamat tersebut, katanya lagi ketika sesi penggulungan Belanjawan 2020 Selangor di Shah Alam.

“Daripada gambaran dan kerangka besar, kita terpaksa ambil tindakan yang kadangkala tak popular dan terkebelakang dan tak masuk akal di sesetengah perkara.

“Tapi untuk kepentingan tertentu dan saat tertentu kita ambil tindakan tegas, kita terpaksa susun atur semula untuk maju,” katanya.

Beliau juga berkata, Selangor akan ketinggalan di belakang sekiranya tidak berusaha mencapai status negeri pintar dan mentadbir berlandaskan formula lama.

“Kalau ikut formula lama kita boleh kekal seperti sedia ada tapi isu terkini, trend terkini seperti negeri pintar, kalau kita tak bertindak cepat kita akan tertinggal dan kita hanya akan cerita sejarah.”

Antara bantuan yang dihadkan adalah pemberian air percuma yang hanya disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah.

Bantuan air percuma itu hanya dapat dinikmati golongan B40 yang berdaftar dalam program e-Kasih bermula 2019, seperti diumumkannya pada November lalu.

Program itu juga hanya akan melibatkan penduduk bandar berpendapatan kurang dari RM1,500 atau penduduk luar bandar dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Jumlah air bantuan air itu bagaimanapun lebih tinggi – sebanyak 25 meter padu berbanding 20 meter padu apabila ia diperkenal semasa pentadbiran bekas menteri besar Khalid Ibrahim. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen