
PEMBERSIHAN dalam pasukan polis sebagaimana yang dijanjikan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyaksikan seramai 252 anggota pegawai dan anggota ditahan kerana positif dadah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Aziz Jamman di Dewan Rakyat.
Beliau ketika menjawab soalan di Parlimen berkata, pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kesalahan dadah akan berdepan tindakan tatatertib.
Azis menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah polis yang ditahan kerana positif dadah sejak pelantikan Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara pada Mei lalu dan adalah mereka masih berkhidmat sekiranya didapati melakukan kesalahan berkenaan.
“Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, 252 pegawai dan anggota PDRM ditahan dan didapati positif ujian dadah sejak Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Mei, 2019.”
“PDRM sangat memandang serius masalah itu. Sehubungan itu, mana-ana anggota pasukan didapati terlibat atau bersalah dalam kesalahan dadah akan berdepan tindakan di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Pegawai atau anggota yang disabitkan kesalahan dikenakan hukuman seperti amaran, turun pangkat dan buang kerja.
Pegawai penyiasat tatatertib akan membawa pegawai atau anggota polis berkenaan berjumpa pegawai perubatan untuk mengambil sampel darah atau air kencing sebagai pengesahan kedua jika laporan patologi didapati negatif.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM melaksanakan program pemulihan MyPS Indah anjuran Bahagian Agama dan Kaunseling khusus bagi warga PDRM yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi kes yang tidak dituduh di mahkamah kerana laporan ujian air kencing daripada patologi didapati negatif. – 12 November, 2019.
Komen