SEORANG ADUN DAP Sarawak mendakwa isteri kepada penasihat undang-undang negeri JC Fong mengganggunya berkenaan perkara dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri membabitkan anak perempuan pasangan itu.
Adun Pending Violet Yong berkata Annie Fong “mendatanginya dan menyoal siasat” berkaitan hal dalam DUN yang tidak terbuka kepada orang awam, hanya untuk Adun dan pegawai kerajaan saja.
Yong berkata pasangan kepada wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan tidak sepatutnya dibenarkan ke kawasan rehat Adun dan Yong bertanya kepada Timbalan Speaker Gerawat Gala bagaimana isteri Fong boleh dibenarkan ke kawasan itu.
Tong berkata Annie datang kepadanya dan menyoal siasat kenapa Yong membangkitkan kepentingan komersial anak perempuan JC dan Annie dalam ucapan bahasnya minggu lalu, dan Annie kemudian menangis di depan Yong.
Bahagian itu dalam ucapan bahas Yong dikeluarkan daripada hansard dengan alasan anak perempuan mereka tidak ada untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan kerana beliau bukan ahli DUN.
“Semua Adun di sini sepatutnya rasa selesa untuk membangkitkan isu tanpa bimbang berat sebelah, apatah lagi terpaksa berdepan dengan penderaan emosional oleh pelawat yang berdendam dengan kami kerana kami membangkitkan isu di dewan.
“Lebih teruk ialah pelawat berkenaan dibenarkan masuk dan mencetuskan tekanan kepada kami di kawasan di mana kami sepatutnya rasa selamat bagi wakil rakyat,” kata Yong.
Minta supaya keselamatan diperketatkan, Yong berkata sidang DUN tidak sepatutnya disalah guna dan digunakan sebagai tempat gangguan emosional peribadi dan dianggap seperti pasar.
Gerawat berkata beliau akan memberikan perhatian kepada aduan Yong. – 12 November, 2019.
Komen