Wendy janji derma semua elaun jika menang PRK Tanjung Piai


Chan Kok Leong

Gerakan kali pertama bertanding PRK selepas PRU14 lalu, mempertaruhkan Wendy Subramaniam sebagai calon mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

WENDY Subramaniam, calon Gerakan untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, berjanji akan menyerahkan semua elaun wakil rakyatnya kepada kawasan itu sekiranya menang Sabtu ini.

“Pengundi tanya apa yang saya boleh buat jika saya menang. Kerana Gerakan tidak ada sumbernya sendiri, saya memutuskan untuk menderma semua elaun (bulanan ahli Parlimen) saya, yang berjumlah hampir RM16,000 untuk pembiayaan pengurusan kawasan ini,” kata timbalan setiausaha agung Gerakan itu pada sidang media di Pontian, hari ini.

Wang tersebut akan diuruskan Gerakan, tambahnya.

Apabila ditanya bagaimana beliau hendak membiayai kehidupan hariannya, Wendy menjawab: “Saya masih seorang peguam.”

“Janji saya kepada Tanjung Piai adalah saya akan berikan semua elaun saya untuk seluruh penggal.”

Buat masa sekarang, kerajaan Persekutuan memberikan RM500,000 setahun kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan untuk aktiviti kawasan diwakili mereka, tetapi wakil rakyat pembangkang hanya mendapat RM100,000 setahun.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata dana itu akan diurus dengan telus dan berjanji akan menerbitkan semua butiran perbelanjaan sekiranya mereka menang kerusi itu.

Mengulas kempennya, Wendy berkata, beliau gembira dengan aktiviti berkempen dari rumah ke rumah dan Gerakan tidak ada rancangan untuk mengadakan ceramah awam.

“Saya melawat pengundi terus dan ramai kata mereka tak jumpa calon lain.”

Tambahnya, Gerakan tidak mengadakan majlis ceramah awam kerana tiada peruntukan.

PRK Tanjung Piai adalah cubaan pertama Gerakan bertanding selepas keluar daripada Barisan Nasional selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Ia merupakan pertandingan enam penjuru antara calon Karmaine Sardini (PH), Wee Jeck Seng (BN), Wendy, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), dan calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar dan Ang Chuan Lock. 

Kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya dari PH-Bersatu Dr Md Farid Md Rafik. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen