Kes Najib tak jejas pilihan pengundi Tanjung Piai


Khoo Gek San

Pengundi Tanjung Piai sudah buat pilihan, kes Najib Razak tak beri kesan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 November, 2019.

BERITA Najib Razak diarahkan membela diri dalam kes SRC International tidak banyak memberi kesan di Tanjung Piai, kawasan pilihan raya kecil dijadual berlangsung Sabtu ini.

Walaupun ada kalangan pengundi yang agak terkejut dengan berita itu, mereka memberitahu The Malaysian Insight pilihan siapa wakil mereka di Dewan Rakyat sudahpun dibuat.

“Kes Najib tak mengubah keputusan saya,” kata Hereel Mahmood, 46, seorang peniaga.

“Semua orang buat silap dan dia pun tak terbukti bersalah lagi. Saya lebih risau tentang ekonomi kerana sebagai peniaga saya merasakan kesan kelembapan ekonomi,” kata penyokong Barisan Nasional di bandar Pontian itu.

Seorang lagi pengundi ditemui The Malaysian Insight, Yaw Chan Lam, 52, pula berkata keputusan mahkamah semalam tidak mengubah pilihannya Sabtu ini.

“Saya sudah buat keputusan, tetapi saya tak boleh beritahu siapa yang saya pilih. Saya boleh kata sesiapa pun buat silap tetapi mereka perlu terima hukuman,” kata pekebun kelapa sawit di Pekan Nanas itu.

Semalam, Najib diarahkan membela diri berkaitan kes SRC International melibatkan jumlah suapan RM42 juta.

Bekas presiden Umno itu berdepan tujuh pertuduhan jenayah melibatkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa. Beliau akan mula membela diri pada 3 Disember ini.

Walaupun ramai yang ditemui tidak memberikan gambaran pilihan mereka, Phang Ah Huat, 65, antara pengundi yang memberi gambaran undinya bukan untuk calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng.

“Saya hanya akan sokong orang baik untuk jadi wakil rakyat. Saya tak mahu sesiapa yang ada kaitan dengan pencuri. Dan saya sokong kerajaan,” katanya.

Manakala, Hon Lan Ying, 59, pula berkata kes itu tidak banyak memberi kesan kepadanya.

“Kami mahu dia (Najib) bertanggungjawab untuk masalah yang dia buat, tetapi untuk undi, saya sudah tahu siapa saya mahu. Najib tak beri kesan kepada keputusan saya,” kata Hon.

Seorang pekerja jentera BN, Sheikh Hanis Sheikh Salahuddin berkata keputusan mahkamah semalam memberikan peluang kepada Najib untuk membersihkan namanya.

“Saya tak fikir keputusan itu bermasalah. Ini peluang Najib untuk menjelaskan semuanya.

“Tiada siapa membangkitkan isu Najib ketika kempen BN,” katanya yang berusia 58 tahun itu.

PRK Tanjung Piai akan berlangsung Sabtu ini, dan calon BN dan PH adalah calon pilihan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 November, 2019.

Sheikh Hanis berkata pengundi lebih bimbang tentang Bantuan Sara Hidup (BSH) yang rendah diberikan pentadbiran Pakatan Harapan berbanding kes Najib.

“Ada yang mengadu mereka dapat kurang berbanding yang lain, ada yang kata tak dapat apa-apa sekarang. Itu isu besar untuk mereka,” tambahnya.

Sentimen disuarakan pengundi di Tanjung Piai itu mengulangi kepercayaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. 

Mohamad semalam memberitahu pemberita yang beliau yakin pengundi sudah membuat pilihan awal dan sebarang perubahan disebabkan kes Najib hanya akan berlaku pada skala kecil.

“Saya jangka dan yakin pengundi di Tanjung Piai sebelum penamaan calon sudah membuat keputusan siapa yang mereka akan pilih.

“Mungkin kalau ada perubahan hanya sekitar 2% hingga 3% sahaja,” katanya.

Kajian dibuat Institut Darul Ehsan terhadap pengundi Tanjung Piai juga mendedahkan 83% responden mempunyai kecenderungan tinggi memilih parti sama yang dipilih mereka sebelum ini. Daripada jumlah itu, 58% adalah pengundi Melayu dan 41% pengundi Cina.

69% pengundi lagi berkata mereka akan membuat pilihan sebelum hari penamaan calon.

Kerusi Tanjung Piai kosong selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik.

PRK itu menyaksikan pertarungan enam penjuru antara Karmaine Sardini (Pakatan Harapan), Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghani dan Dr Ang Chuan Lock. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen