Dr Mahathir tak percaya Anwar, kata Ku Li


Khoo Gek San

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata Dr Mahathir Mohamad akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri selagi masih sihat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 November, 2019.

DR Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim kerana beliau tidak mempercayai presiden PKR berkenaan, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

“Saya fikir beliau tidak mahu berikan kepada sesiapa yang tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana orang yang menggantikannya akan mencari salahnya di kemudian hari,” katanya.

“Saya fikir ia (keputusan) dipengaruhi oleh ketakutan,” kata Presiden Majlis Penasihat Umno kepada The Malaysian Insight.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, saingannya yang berusia 94 tahun itu akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri selagi beliau sihat.

“Itulah yang Mahathir maksudkan pada minggu lepas bahawa beliau adalah orang paling baik untuk jawatan itu pada masa ini.

“Oleh itu saya fikir beliau akan memegang jawatan itu melainkan beliau tidak sihat,” kata Ahli Parlimen Gua Musang berusia 82 tahun itu.

Beliau berada di Tanjung Piai pada hujung minggu ini untuk memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional Wee Jeck Seng.

Wee yang pernah menjadi ahli Parlimen sebanyak dua kali di Tanjung Piai cuba memenangi kerusi dari Pakatan Harapan selepas kematian penyandang Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September.

Ku Li yang merupakan ahli Parlimen paling lama berkhidmat berkata BN berada di hadapan di Tanjung Piai.

“Sokongan perlahan-lahan ke arah BN kerana mereka telah melantik seorang calon terkenal dari sini. Saya fikir Wee akan mendapat undi,” katanya.

Ku Li berkata PH tertekan dengan masalah yang dibuat oleh mereka sendiri.

“Tidak ada perpaduan dalam pemikiran di kalangan pemimpin PH.

“Dr Mahathir juga meluahkan rasa kecewa beliau tentang perkara yang beliau mahu lakukan tetapi tidak boleh. Beliau berkata ada orang yang cuba menghalangnya dalam temubual dengan BBC baru-baru ini.

“Beliau seorang yang sangat berterus terang dari segi menyatakan fikiran dan perasaan,” katanya.

Perjanjian PH sebelum pilihan umum lepas menetapkan bahawa Dr Mahathir mesti menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Penyokong kedua-dua pemimpin telah menggesa sama ada Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri atau Anwar mengambil alih jawatan itu tidak lama lagi. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen