Kes Najib tak jejas sokongan BN di Tg Piai, kata Mat Hasan


SM Amin

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau yakin pengundi Tanjung Piai sudah membuat keputusan siapa yang akan mereka pilih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 November, 2019.

SOKONGAN kepada BN dalam PRK Tanjung Piai tidak terjejas walau Najib Razak diarah membela diri oleh mahkamah, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Katanya, beliau yakin pengundi Tanjung Piai sudah menetapkan pilihan lebih awal dan sebarang perubahan sokongan hanya akan berlaku dalam skala kecil.

“Saya jangka dan yakin pengundi di Tanjung Piai sebelum penamaan calon sudah membuat keputusan siapa yang mereka akan pilih.

“Mungkin kalau ada perubahan hanya sekitar 2% hingga 3% sahaja,” katanya kepada pemberita selepas berceramah di Kampung Timor Laut, di Tanjung Piai malam tadi.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas perdana menteri itu membela diri dalam kes berkaitan dengan SRC International.

Ia bagi kesemua tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

Keputusan itu dibuat sewaktu kempen PRK Tanjung Piai semakin hangat, dan dilihat sesetengah pihak akan menjejaskan sokongan kepada BN seperti yang berlaku dalam PRU14.

Mohamad bagaimanapun menepis telahan tersebut dan menegaskan kekalahan BN dalam PRU14 lalu adalah disebabkan fitnah dan janji manis PH

“Kita kalah disebabkan terlalu banyak fitnah yang dilempar dan janji-janji yang tidak masuk akal. Rakyat terpedaya dengan segala janji-janji tersebut.

“Siapa tidak mahu tol percuma, harga minyak turun, tidak perlu bayar semula pinjaman PTPTN (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)?” soalnya.

Kes Najib Razak tak jejas keyakinan pengundi Tanjung Piai kepada BN, kata Mohamad Hasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 November, 2019.

Menurut Mohamad, BN tidak melindungi mana-mana pemimpin parti itu yang dikaitkan dengan korupsi ketika menerajui kerajaan persekutuan.

“BN tidak melindungi sesiapa. (Bekas menteri Besar Selangor) Harun Idris yang merupakan antara pemimpin Umno yang berkuasa pun kena dakwa dan masuk penjara.

“Begitu juga dengan (bekas menteri besar Selagor) Khir Toyo. Semua pemimpin besar Umno, bila ada kes, kena letak jawatan.

“Bila didapati bersalah, diambil tindakan di mahkamah. Jadi tidak boleh kata kerana korupsi kita kalah,” katanya lagi.

Malah keputusan mahkamah itu juga satu peluang kepada bekas presiden Umno itu untuk membela diri di mahkamah dengan membawa saksi pembelaan serta bukti.

“Kalau kita ambil dari sudut positif, inilah peluang Najib untuk membela diri, memanggil saksi beliau pula. Sebelum ini di mahkamah hanya saksi-saksi pendakwa.

“Najib sendiri akan disoal sebagai saksi pertama, boleh menerangkan keadaan kerana hakim membuat keputusan sebelum ini berasaskan kepada saksi-saksi pihak pendakwaan.

“Memang saksi-saksi pendakwaan, biasalah akan menekan dan menyatakan Najib bersalah,” ujarnya.

PH meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk mempertahankan kerusi itu dalam pemilihan yang akan berlangsung pada 16 September.

Empat lagi calon yang bertanding termasuk Presiden Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam.

Dua lagi calon bertanding atas tiket Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Ang Chuan Lock, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, yang mewakili kumpulan pemandu teksi. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen