MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu hari ini menegaskan hubungannya dengan ahli Parlimen DAP negeri adalah baik meskipun terpalit isu video baru-baru ini yang menunjukkan beliau mengkritik mereka semasa lawatan di Tanjung Piai.
Faizal yang hadir semasa mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu petang ini di Kuala Lumpur, berkata kenyataannya diambil luar konteks.
“Saya di istana hari ini meraikan hari keputeraan Tuanku Sultan (Perak). Tiada masalah dan kami bersama-sama meraikannya.
“Ucapan saya diambil di luar konteks. Saya sudah menjelaskannya kepada kepimpinan parti,” katanya.
Selepas mesyuarat itu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata parti tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap Faizal berhubung kenyataan kontroversinya terhadap DAP baru-baru ini.
Dr Mahathir, yang juga perdana menteri berkata Faizal cuba menjelaskan kepada penduduk setempat mengenai usahanya sebagai menteri besar Melayu dan menegaskan beliau tidak dikawal oleh DAP.
Faizal juga berkata setiap orang perlu memberi tumpuan kepada memenangi kerusi Tanjung Piai.
“Kita mesti memastikan Karmaine (Sardini) menang dan menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai,” katanya.
Faizal baru-baru ini dituduh menjejaskan DAP dalam kerajaan negeri Perak.
Dalam satu kempen pilihan raya minggu lalu, beliau memberitahu sekumpulan penduduk di Tanjung Piai bahawa beliau berseorangan berlawan dengan DAP di negeri itu.
Kenyataan itu dirakam dalam video dan kemudian dikongsi di media sosial.
“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.
“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai,” kata bekas ahli Umno dalam video sepanjang enam minit itu.
Faizal memenangi kerusi Chenderiang pada pilihan raya umum tahun lalu dan merupakan wakil rakyat tunggal Bersatu di Perak.
Ditanya sama ada beliau akan memohon maaf kepada DAP, Faizal menjawab beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Beliau juga berkata akan tetap bersama PH walaupun ditawarkan oleh PAS Perak untuk menyertai pakatan PAS-Umno. – 11 November, 2019.
Komen