BERSATU tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu selepas kenyataan kontroversinya terhadap DAP baru-baru ini.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Faizal hanya cuba menjelaskan kepada penduduk tempatan berhubung tugasnya sebagai menteri besar Melayu dan beliau tidak dikawal oleh DAP.
“Beliau dikelilingi beberapa orang yang agresif. Mereka ini percaya bahawa DAP yang mengawal negara.
“Beliau hanya cuba untuk menjelaskan kepada mereka yang beliau adalah MB. MB Melayu, dan beliau tidak dikawal oleh DAP.
“Dalam sesetengah situasi, kamu perlu jelaskan perkara ini kepada masyarakat,” kata Dr Mahathir.
Dalam rakaman video yang tular baru-baru ini, Faizal mendakwa beliau berseorangan cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.
“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak DAP ini.
“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai.
Faizal memenangi kerusi DUN Chenderiang pada pilihan raya umum tahun lalu, dan merupakan satu-satunya Adun Bersatu di Perak.
Beliau kemudian menjelaskan kenyataannya itu diambil di luar konteks.
Dr Mahathir turut diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bahawa Faizal tidak layak menjadi MB Perak.
“Tiada masalah (dalam kalangan parti di Perak). Mereka tidak bergaduh atau bertelagah,” katanya.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosog berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik pada September lalu kerana komplikasi jantung.
Pilihan raya kecil yang akan berlangsung Sabtu ini menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Pakatan, Barisan Nasional, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas. – 11 November, 2019.
Komen