Bajet Pakatan usul mansuh GST dan agenda Bumiputera


Sheridan Mahavera

PENINGKATAN gaji minimum dan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam bajet alternatif yang ditawarkannya sebagai saingan kepada Bajet 2018 Putrajaya.

Bajet PH itu juga dijangka akan mengubah sedikit beberapa dasar sedia ada Barisan Nasional (BN) seperti skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program pembangunan usahawan Bumiputera.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, bajet PH itu akan diumumkan pada 25 Oktober ini, dua hari sebelum Perdana Menteri Najib Razak membentangkan belanjawan kerajaan di Dewan Rakyat.

Bajet PH juga akan menunjukkan dasar ekonomi gabungan pembangkang itu, yang merupakan sebahagian daripada manifesto menyeluruh yang akan ia bentangkan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ini adalah bajet alternatif kedua PH selepas pakatan terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu itu dibentuk pada 2016.

“Bahagian ketiga bajet itu juga akan memasukkan unjuran kesan sebenar dasar-dasar PH pada 2030 sekiranya ia dilaksanakan dan bagaimana ia akan mengubah negara,” kata seorang pemimpin PH yang maklum tentang bajet alternatif itu.

Satu cara bagaimana PH mahu membezakan pelannya dengan cara BN menguruskan kewangan negara ialah dengan menambah pegangan wang pada pekerja dan pengguna dengan menaikkan gaji.

Strategi ini mempunyai pendekatan tiga serampang, kata seorang lagi pegawai PH yang terlibat dalam penggubalan bajet tersebut.

Pertama, gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 daripada RM1,000 sekarang.

Kedua, PH akan memperkenalkan sistem bayaran bersama bagi membantu syarikat iaitu dengan membayar separuh kenaikan gaji berkenaan untuk tempoh tiga tahun bagi syarikat-syarikat yang layak.

“Oleh sebab gaji minimum kini RM1,000, syarikat perlu menambah RM500 bagi setiap pekerja. Di bawah sistem bayaran bersama, kerajaan akan membayar RM250 bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga tahun bagi membantu syarikat-syarikat menyesuaikan diri.”

PH juga akan meminda undang-undang pekerja untuk mematuhi piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memantapkan kesatuan sekerja serta meningkatkan daya tawar-menawarnya. Ini juga seterusnya dijangka akan meningkatkan gaji pekerja, kata pegawai PH itu.

“Kita mahu mewujudkan satu kitaran kebajikan. Sekiranya pekerja ada pendapatan lebih, mereka akan ada banyak pilihan. Mereka akan berbelanja lebih dan ini akan meningkatkan perniagaan dan pendapatan syarikat,” katanya.

“Mereka boleh memilih untuk tidak tinggal di rumah rakyat atau membawa anak ke klinik swasta. Dari segi jangka panjang, ini akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan persekutuan.”

Dasar ini juga selari dengan pelan mengurangkan pekerja asing di negara ini yang dianggarkan berjumlah 6 juta orang bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sebuah program pemberdayaan usahawan Bumiputera juga akan dimasukkan dalam bajet PH atas permintaan Bersatu, kata sumber itu.

“Tetapi kami percaya, program kami lebih bagus daripada yang dilakukan oleh BN,” katanya.

Mengurangkan pembaziran

PH juga dijangka akan menjelaskan bagaimana ia akan menampung kekurangan pendapatan sekiranya ia memansuhkan GST.

Pentadbiran BN mengatakan GST menyumbang RM42 bilion kepada pendapatan negara. Ia mengatakan pemansuhan cukai itu akan menjejaskan kemampuan kerajaan untuk membiayai pelbagai program terutamanya selepas kemerosotan pendapatan daripada minyak dan gas.

Sebahagian daripada penyelesaian PH ialah untuk berpatah balik kepada sistem penggunaan sebelum era GST iaitu cukai jualan dan perkhidmatan yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu.

“Kita dijangka akan menjimatkan RM20 bilion daripada bajet ini dengan mengurangkan pembaziran dan penyelewengan. Misalannya, bajet bagi Pejabat Perdana Menteri boleh dipotong daripada RM20 bilion kepada RM8 bilion.”

Perkiraan sebenar bagaimana ia boleh dilakukan akan didedahkan pada pengumuman bajet PH.

Bayaran BR1M akan dikekalkan tetapi bantuan tunai itu akan diberikan secara bersyarat, kata sumber.

“Buat masa ini kita mengekalkannya tetapi bagi sesetengah penerima mereka perlu buat sesuatu yang positif.”

Sumber itu juga memaklumkan bajet PH juga akan menyenaraikan insentif untuk menggalakkan syarikat teknologi yang terlibat dalam sektor yang akan menjana “revolusi industri keempat”.

PH dijangka menawarkan kadar cukai rata kepada syarikat yang terlibat dalam pembangunan kecerdasan buatan, robotik, teknologi nano dan bioteknologi. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen