Guan Eng berang wartawan tanya tindakan pada Ronnie Liu


Zaim Ibrahim

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau sudah beri kenyataan berkenaan pemimpin parti itu, Ronnie Liu yang mengkritik perdana menteri secara terbuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2019.

LIM Guan Eng berang apabila ditanya mengenai tindakan ke atas pemimpin parti itu, Ronnie Liu Tian Khiew yang mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad secara terbuka.

Katanya, isu berkenaan dijelaskannya semalam dan mendakwa ia sudah dilaporkan The Malaysian Insight.

“Saya dah jawab semalam, bukan? Tak kan anda tidak baca laporan daripada The Malaysian Insight sendiri?” soalnya ketika ditanya pada sidang media di Pulau Pinang.

Ketika diminta untuk memberikan perkembangan terbaru mengenai siasatan ke atas Liu, Lim sekali lagi berkeras bahawa beliau sudah pun menjawabnya semalam.

“Saya dah jawab semalam dan sudah disiarkan. Bagaimana saya mahu beri perkembangan terbaru jika saya dah jawab semalam,” tambahnya .

The Malaysian Insight semalam tidak melaporkan sebarang kenyataan Lim mengenai tindakan khusus ke atas ahli jawatankuasa kerja pusat DAP itu.

Beliau sebaliknya menyebut, tidak sepatutnya berlaku layanan berbeza dalam menangani kemelut dalaman PH.

Lim berkata demikian dengan membandingkan kes dihadapi Liu dengan kes dihadapi Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Liu meraih kontroversi kerana mendakwa gabungan PH masih dapat berfungsi tanpa parti Bersatu dan mengkritik tindakan Dr Mahathir yang didakwanya menjejaskan keyakinan rakyat.

Kenyataan yang dilaporkan secara meluas pada bulan lalu, dan dipertahankan oleh Liu itu menimbulkan kemarahan pemimpin Bersatu.

Faizal pula menimbulkan kemarahan DAP apabila tersebar rakaman menunjukkan ucapannya berhubung usahanya memerangi DAP untuk mempertahan Melayu dan Islam.

Ucapan dalam satu pertemuan bersama pengundi semasa kempen PRK Tanjung Piai itu dirakam dalam satu video dan tersebar luas. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen