PERSIDANGAN Dewan Rakyat ditangguhkan selama 10 minit selepas Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith mengadu tidak berapa sihat sehingga memaksa pasukan perubatan dipanggil.
“Dewan ditangguh untuk sementara bagi memberi perhatian kepada timbalan menteri,” kata Timbalan Speaker Dewan Mohd Rashid Haron selepas diberitahu tentang situasi itu.
Eddin mengadu pening-pening sekitar jam 10.30 pagi selepas memasuki dewan.
Pada jam 10.44 pagi, timbalan menteri multimedia dan komunikasi itu di bawa ke klinik Parlimen menggunakan kerusi roda.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, Eddin dirujuk ke Institut Jantung Negara.
“Beliau ada sejarah sakit jantung. Beliau sakit dada, ketegangan dada dan sesak nafas.
“Kami baru stabilkannya,” katanya yang juga merupakan seorang doktor perubatan kepada pemberita di lobi Parlimen.
Yii berkata Eddin mengadu sakit dada ketika menunggu giliran mengaju soalan.
Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah kemudiannya memberitahu Yii mengenai keadaan Eddin sebelum beliau bergegas memberikan pertolongan cemas.
Pada jam 11.15 pagi Eddin dibawa keluar dari klinik Parlimen oleh pasukan perubatan.
Sementara itu Yii menasihati ahli Parlimen untuk meluangkan masa menjaga kesihatan mereka dan mendapatkan rehat secukupnya dan menjalani pemeriksaan kesihatan tidak kira betapa sibuknya mereka.
“Ahli Parlimen ada kelebihan untuk menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan. Tetapi ramai yang terlalu sibuk dengan kerja,” katanya.
Beliau mengingatkan ahli Parlimen bahawa mereka hanya dapat berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin jika berada dalam kesihatan yang baik.
Sebelum ini Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020. – 11 November, 2019.
Komen