MCA sudah menang di Tanjung Piai – kalau jumlah pengundi Cina yang hadir dalam ceramah politik sejak kempen bermula seminggu yang lalu jadi ukuran sokongan.
Lebih 14 bulan lalu, MCA hanya dapat menarik lebih kurang 20 orang ketika mereka berceramah di tapak pasar malam semasa pilihan raya kecil Balakong di Selangor.
Pada masa itu, lawan mereka DAP menarik ratusan hadirin terdiri dalam kalangan pengundi Cina di lokasi ceramah lebih kurang 500 meter dari tapak pasar malam itu.
Malam tadi, nasib mereka terbalik. MCA berceramah kepada ratusan orang di luar pasar raya besar Econsave di Pontian. DAP pula hanya dapat mengumpulkan satu perempat hadirin sebagai perbandingan di sebuah medan selera kira-kira 800 meter dari pasar raya besar itu.
“Pakatan Harapan (PH) janji hendak hapuskan tol, mansuhkan pinjaman PTPTN dan menurunkan harga minyak kalau menang pilihan raya. Adakah semua itu dibuat?” tanya Presiden MCA Dr Wee Ka Siong, yang juga satu-satunya wakil parti itu di Dewan Rakyat.
“Mereka juga janji hendak perkenalkan subsidi petrol dalam Belanjawan 2019. Adakah itu dibuat?” tanyanya lagi.
PH gagal mengotakan janji dan “sudah kencing” pengundi, katanya.
Beliau menambah, PH bukan saja tidak menghapuskan tol sebaliknya sekarang mahu mengambil alih lebuh raya PLUS dan menawarkan diskaun 18% atas tol, tambahnya.
“Tetapi untuk beri diskaun itu, kerajaan cadang melanjutkan konsesi tol kepada 20 tahun lagi dari 2038 kepada 2058. Tidakkah itu bodoh?”
“Subsidi petrol pula, mereka janji pada 2019. Mereka beri kontrak RM25 juta kepada sebuah syarikat untuk melaksanakannya. Tetapi sekarang tangguh sampai tahun depan,” kata Wee, bekas timbalan menteri dalam Kabinet Najib Razak.

Namun seperti dalam banyak ceramah, apa yang dibangkitkan itu separuh betul separuh bohong yang berlebih-lebihan.
Dalam pilihan raya umum lalu, PH berjanji menstrukturkan semula perjanjian tol dan menghapuskan pinjaman PTPTN. Ia tidak berjanji untuk menurunkan harga minyak atau menghapuskan tol.
Janji harga minyak turun dibuat menjelang PRU13, namun itu tidak menyekat pembangkang daripada mengitar semula janji lama itu.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagaimanapun ada berjanji mahu memperkenalkan subsidi petrol menjelang separuh kedua tahun ini namun ia ditangguhkan sehingga tahun depan. Lim bagaimanapun tidak menjelaskan sebab penangguhan itu.
Satu perkara yang jelas, baik Wee mahupun calon BN Wee Jeck Seng atau Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed, semuanya langsung tidak menyentuh isu-isu yang menyebabkan pengundi Cina menolak BN dalam pilihan raya umum lalu iaitu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Najib.
“Sekurang-kurangnya kita bersih”
Isu-isu itu masih lagi hangat dan bergema di pentas ceramah PH.
“Kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi ia bersih. Tidak ada Najib atau Rosmah dengan beg tangan yang mahal dan berlian merah jambu,” kata timbalan menteri dari DAP, Liew Chin Tong.
“Kerajaan hari ni bukan lagi dikuasai dengan duit daripada PM yang mahu menutup isu. Peranan perdana menteri dan menteri kewangan sudah terpisah,” kata senator itu.
“Kalau ada satu hal yang patut membuatkan anda semua bangga, anda telah mengundi sebuah kerajaan yang bersih,” katanya.
Liew bagaimanapun merayu pengundi Cina agar bersabar sedikit dengan PH dan menyokong calon Bersatu, Karmaine Sardini dalam pilihan raya kecil pada Sabtu ini.
Tidak seperti di negara lain misalnya Amerika Syarikat atau United Kingdom, ini kali pertama Malaysia melalui perubahan kerajaan di peringkat persekutuan, kata Liew.
Timbalan menteri pertahanan itu membayangkan masih ada “tangan ghaib” yang menentang PH.
“Lebih buruk lagi, kalau BN menang di sini, Najib akan kata pengundi Tanjung Piai percaya beliau tidak bersalah,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusan di akhir kes pendakwaan, sama ada melepaskan daripada pertuduhan atau memanggil Najib membela diri dalam kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan SRC International Sdn Bhd.
Bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua juga menyeru pengundi Cina bersabar dengan PH. Beliau cuba meredakan isu melibatkan komponen parti dalam PH, seperti yang dihadapi antara DAP dan Bersatu.
“Kita sedang cuba yang terbaik. Masalah yang tuan-tuan lihat hari ini adalah kesan daripada kongsi kuasa. Pada masa lalu, BN dikuasai oleh satu parti dan kemudiannya hanya seorang pemimpin.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah demokrasi yang berjalan, dengan semua peranan dan kuasa diasingkan dan tidak lagi bertumpu pada satu pihak,” kata naib presiden PKR itu.
Tian menyedari kemarahan kaum Cina kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dan berkata: “Kalau tuan-tuan rasa mahu menghukum beliau dengan mengundi untuk BN, ia tidak akan jadi apa-apa kerana beliau mungkin akan bersara selepas dua tahun.”
Beberapa laporan sebelum ini menyebut Dr Mahathir akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri selepas dua tahun.
Kalau melihat pada jumlah hadirin, sokongan terhadap MCA semakin meningkat sejak pilihan raya kecil Balakong.
Namun dalam PRU14, BN hanya menang 5% undi kaum Cina di seluruh negara – walaupun peratusan undi kaum Cina di Tanjung Piai jauh lebih baik daripada itu, iaitu 32%. – 11 November, 2019.
Komen