Melayu Islam perlu bangkit lawan ketaksuban agama


Gan Pei Ling

Antara ahli panel forum hari ini yang membincangkan soal ketaksuban agama dalam masyarakat negara ini dan bagaimana orang Melayu Islam perlu bangkit mempertahankan hak kebebasan intelektual mereka dan tidak lagi mengharapkan ahli politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najua Zulkefli, 22 Oktober, 2017.

LEBIH ramai orang Melayu Islam perlu bangkit dan membantah pelampau agama serta sekatan kepada kebebasan intelektual, kata panel forum tentang taakulan dan agama dalam masyarakat hari ini.

Menggunakan pertikaian berterusan mengenai isu dobi untuk orang Islam sahaja sebagai contoh, aktivis sosial Marina Mahathir berkata ia seolah permulaan kepada dasar apartheid.

“Ia soal mengasingkan orang Islam dan bukan Islam. Ia permulaan apartheid. Kerana itu kita berhak untuk kata tidak,” katanya kepada hadirin yang memenuhi bilik di pusat pengajaran University of Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur.

Katanya lagi kecaman institusi diraja terhadap penceramah Zamihan Mat Zin yang menyokong kewujudan dobi untuk orang Islam sahaja adalah luar biasa.

“Bila sampai soal agama, orang takut untuk bersuara kerana mereka nampak apa yang berlaku kepada orang yang berani bersuara seperti arwah Kassim Ahmad.

“Bukan semua orang setuju dengan apa yang berlaku sekarang. Ia budaya ketakutan. Kita perlu lebih ramai orang bersuara, bukan sekadar orang seperti kita yang selalu bersuara (ahli panel), untuk kata cukup cukuplah,” kata Marina.

Selain budaya ketakutan, Dr Zaharom Nain dari University of Notthingham Malaysia percaya mentaliti terjajah dan tidak peduli dalam kalangan orang Melayu Islam juga menghalang mereka daripada menyuarakan fikiran mereka secara bebas mengenai agama.

“Ada beberapa tinjauan yang membuktikan perkara itu. Media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 yang merupakan media utama di kawasan pedalaman menyerongkan gambaran sebenar di Malaysia,” kata Zaharom.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom pula menambah yang beberapa parti politik dengan majoriti Melayu Islam berani bercakap menentang perkembangan pelampau dalam negara ini.

“Apa yang kita perlukan adalah orang dari Amanah dan Bersatu untuk katakan kita tidak boleh benarkan perkara ini berterusan,” katanya.

Tambahnya, tiada parti politik yang cukup berani menentang secara terbuka cadangan Presiden PAS Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bagi melaksanakan hudud.

“Mereka fikir itu tindakan bunuh diri politik, yang mereka akan dituduh murtad sekiranya mereka tidak menyokongnya,” kata Azmi.

Tambahnya lagi, terpulang kepada orang Melayu Islam untuk mewujudkan kebebasan intelektual dalam isu politik yang ahli politik tidak peduli.

 Azmi merujuk kepada pengharaman terbaru buku yang ditulis wartawan Turki Mustafa Akyol dan penahanan Mustafa oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Dr Isham Pawan Ahmad dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata orang Melayu Islam perlu bijak memisahkan antara suruhan Tuhan dan perkara ciptaan manusia.

“Hak anda untuk mendengar pelbagai idea yang berbeza dan membuat keputusan untuk diri sendiri.

“Apabila Nabi mengatakan sesuatu, pengikutnya akan bertanya: Adakah itu wahyu atau pendapat anda? Jika itu pendapat anda, kita boleh berbincang. Islam menghargai syura,” katanya. – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen