SAMPAI bila rakyat harus menanggung derita dan kerugian kerana sikap pengusaha perkhidmatan bas yang degil tidak mahu mematuhi undang-undang, tanya aktivis persatuan pengguna.
Syarikat pengusaha bas masih cuai dan sambil lewa menjaga pemandu mereka sendiri dan tidak mengambil pengajaran daripada kemalangan maut yang berlaku akibat pemandu bas, kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader.
Mohideen membangkitkan pertanyaan itu susulan kematian seorang pelajar dirempuh bas persiaran di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Khamis lalu. Polis mengesahkan pemandu bas itu positif dadah, dan lebih mengejutkan, tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Kenapa majikan boleh menggajikan seorang pemandu yang tidak berlesen dan menggunakan dadah?
“Ini menunjukkan majikan pun cuai. Majikan pun perlu ditahan dan disiasat, bukan pemandu sahaja,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Mohideen berkata siasatan dan kajian CAP sebelum ini mendapati pemandu bas terpaksa menggunakan dadah untuk menambah tenaga kerana tuntutan kerja.
Katanya, kebanyakan pemandu bas ekspres dibayar gaji mengikut jumlah perjalanan yang mereka buat.
“Mereka terpaksa mengambil dadah untuk kerja dengan masa yang panjang, supaya dapat pendapatan yang tinggi,” katanya.
Menurut Mohideen, sudah sampai masa untuk kerajaan melakukan sesuatu demi membela kebajikan pemandu bas dan tidak perlu menunggu satu lagi kemalangan maut berlaku.
“Kerajaan perlu merangka undang-undang supaya memastikan pemandu bas dapat gaji yang berpatutan, bekerja ikut waktu yang munasabah dan gaji tidak bergantung kepada jumlah perjalanan.
“Operator bas juga perlu mengambil kira faktor keletihan pemandu dan keselamatan orang awam,” jelasnya.
Campur tangan kerajaan
Pakar keselamatan jalan raya di Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua bagaimanapun berkata pengusaha bas sebenarnya berdepan masalah kekurangan pemandu dan sengaja memejam sebelah mata terhadap beberapa isu yang timbul.
“Bukan mereka (operator bas) tidak tahu pemandu bas mereka mempunyai masalah atau ambil dadah tapi jika tidak diambil bekerja, syarikat pula tidak dapat beroperasi.
“Kita tidak cukup pemandu bas kerana pekerjaan ini tidak menarik, tiada status dan gaji tidak tinggi,” katanya.
Secara purata, berdasarkan maklumat industri dan laporan media, seorang pemandu bas ekspres menerima gaji pokok antara RM1,000 hingga RM2,000 dan ditawarkan pendapatan tambahan antara RM30 hingga RM150 bagi setiap perjalanan.
Oleh itu, Law berpendapat, tidak adil untuk menyalahkan pemandu bas semata-mata kerana sesetengah mereka terdesak sehingga terpaksa menggunakan dadah untuk menambah tenaga.
“Mungkin dia bukan seorang penagih tetapi disebabkan kerja, dia terpaksa ambil (dadah) untuk memandu bas berjam-jam,” katanya.
Law mencadangkan kerajaan supaya berbincang dengan pihak berkepentingan dalam industri bas untuk meningkatkan taraf hidup pemandu bas sebagai kerjaya yang profesional.
“Jika mahu kurangkan masalah (kemalangan membabitkan) bas, kita perlu mengkaji manfaat yang boleh kita berikan kepada pemandu bas.
“Kita perlu wujudkan satu pakej supaya mereka juga tergolong dalam pekerjaan profesional,” jelasnya.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, Muhammad Saifullah Muhammad Hafiz, 16, meninggal dunia selepas cedera parah dirempuh bas semasa berhenti di simpang lampu isyarat.
Pemandu diheret ke mahkamah
Pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara itu juga bekerja sambilan menghantar piza. Beliau difahamkan dilanggar semasa dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.
Pemandu bas itu, S Peter Paul, 49, ditahan reman sejak Jumaat dan dihadapkan ke Mahkamah Majistres Balik Pulau semalam atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.
Beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan seterusnya menyebabkan kematian.
Siasatan awal polis mendapati pemandu berumur 49 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Bas berkenaan juga dikatakan mengalami masalah brek sehingga pemandunya hilang kawalan.
Semasa kejadian, bas itu meluru laju merempuh simpang lampu isyarat lalu melanggar tembok batu pagar sebuah rumah di seberang jalan.
Sementara itu menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemandu bas itu termasuk menjalankan audit terhadap bas terlibat.
Ketua Pengarah, Siti Zaharah Ishak berkata kejadian ini menunjukkan kerajaan perlu menyediakan satu pangkalan data nama pemandu bas yang layak untuk memandu.
“Data tersebut akan memudahkan majikan untuk memilih pemandu yang menepati kriteria berisiko rendah terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Pangkalan data bas selamat
Statistik Miros menunjukkan 80% daripada kemalangan jalan raya berpunca akibat faktor manusia.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), 400 kematian direkodkan sepanjang 2009 hingga Jun 2019 akibat kemalangan melibatkan bas.
Bagi tahun ini, setakat Jun lalu, 31 kematian melibatkan kemalangan bas dicatatkan di seluruh negara.
Jumlah tertinggi ialah pada 2013 iaitu 60 kematian, dengan 37 daripadanya terbunuh dalam nahas di Genting Highlands iaitu yang terburuk dalam sejarah kemalangan bas di Malaysia.
Panel yang menyiasat nahas itu kemudian mengemukakan 51 syor penambahbaikan perkhidmatan bas kepada kerajaan, yang pelaksanaannya dipantau sebuah panel penilai.
Pada November 2018, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan dalam proses menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia, hasil cadangan panel yang sama.
Lembaga itu diberi kuasa menyiasat kemalangan pengangkutan termasuk di jalan raya, namun tidak mengambil alih peranan Miros yang menyiasat soal teknikal dan polis yang meneliti aspek jenayah.
Dalam pada itu, Siti Zaharah berharap pengguna memilih syarikat bas yang mempunyai penarafan keselamatan untuk bas ekspres, iaitu Safety Star Grading (SSG) yang boleh diakses melalui pautan http://ssg.miros.gov.my/.
“Syarikat yang dianugerahkan 5 bintang dalam penilaian tersebut secara langsung memenuhi semua kriteria keselamatan dan Miros berhasrat memperluaskan perkara program ini kepada bas-bas selain bas ekspres seperti bas persiaran dan bas sekolah,” tambahnya.
SSG juga adalah satu daripada cadangan yang dilaksanakan selepas kemalangan bas di Genting Highlands pada 2013. – 12 November, 2019.
Komen