Mangsa kesembilan ditemui, bomba harap jumpa 2 mangsa lagi malam ini


Looi Sue-Chern

Mayat mangsa kesembilan kejadian tanah runtuh Pulau Pinang ditemui pada jam 6.20 petang tadi, menjadikan jumlah yang masih belum ditemui adalah dua orang. – Gambar ihsan Bomba, 22 Oktober, 2017.

MAYAT mangsa kesembilan kejadian tanah runtuh Pulau Pinang ditemui pada jam 6.20 petang tadi, menjadikan jumlah yang masih belum ditemui adalah dua orang.

Timbalan Ketua Operasi Bomba Edwin Galan Teruki berkata operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan.

“Agak rumit kerana ia berada di bawah batu dan rasuk besi.

“Kita perlu berhati-hati bila mengeluarkan mayat itu untuk mengekalkan keadaanya. Ia mungkin mengambil masa berjam,” katanya kepada wartawan.

Tanah runtuh semalam di tapak pembinaan di Lorong Lembah Permai 3 itu menimbus 11 mangsa, termasuk seorang penyelia tapak projek rakyat Malaysia.

Empat mayat ditemui semalam dan lima lagi hari ini. Semuanya pekerja asing.

Mangsa kelapan ditemui tengahari tadi adalah warga Pakistan, Raza Ali.

Isterinya, warga Indonesia, Noraini Rosanti Abdullah memberikan namanya sebagai Ali Raza Mohamad Jamil ketika bercakap kepada media semalam.

Dia kelihatan bingung selepas keluar dari tapak pembinaan itu.

Edwin berkata operasi mencari itu satu kejayaan dan pihak bomba berharap baki dua lagi mangsa akan ditemui mala mini.

Katanya mereka akan meneruskan operasi selagi mana situasi membenarkan. – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen