KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai akan menjadi isyarat kebangkitan semula MCA, kata bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Katanya, kemenangan calon BN Wee Jeck Seng dari MCA juga akan menjadi isyarat kepada rakyat Malaysia bahawa kerjasama Umno dengan PAS tidak sama sekali meminggir kaum bukan Melayu.
“Kita hendak buktikan (Umno) kerjasama dengan PAS tetapi pilihan raya kecil Tanjung Piai, Wee akan menang. Kalau Wee menang, isyarat lagi bahaya Pakatan Harapan.
“Maksudnya MCA boleh menang, MCA boleh bangkit kembali.
“Ini pilihan raya yang bahaya untuk Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika berkempen di Bilik Gerakan MCA Pontian, petang tadi.
Wee, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013, kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada calon PH Dr Md Farid Md Rafiq, yang juga bekas timbalan menteri di Putrajaya.
Pilihan raya kecil pada 16 November ini diadakan selepas Md Farid meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 September lepas.

Dalam pada itu, Khairy yakin beberapa petunjuk sejak kempen bermula seminggu yang lalu membayangkan Wee ada peluang cerah untuk menebus kekalahannya pada PRU14.
“Saya terkejut tengok gambar. Biasanya ceramah DAP ramai betul (hadirin) tapi semalam dan dua hari lepas, ceramah DAP kerusi lagi banyak daripada manusia.
“Maknanya selama ini mereka, orang Tionghua, tidak sokong BN… tidak betul,” katanya.
Jelas beliau, pengundi Cina ada maruah dan mereka akan memberi undi kepada parti yang bercakap benar iaitu BN.
Katanya, PH tidak bercakap benar kerana tidak menunaikan banyak janji PRU14 yang terkandung dalam manifesto mereka.
Pengundi kaum Cina juga sudah boleh nampak dengan jelas sikap sebenar DAP dalam PH apabila sudah menjadi kerajaan.
“Mereka kata dulu MCA parti yang lemah, takut pada Umno. Sekarang tengok DAP, lagi teruk,” katanya. – 10 November, 2019.
Komen