KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani mempertimbangkan beberapa pertukaran dasar termasuk mengambil kira hasil keluaran berdasarkan subsidi pertanian, kata Sim Tze Tzin.
Timbalan menteri itu berkata Putrajaya mengeluarkan peruntukan lebih RM2 bilion bagi menampung pelbagai subsidi dan elaun sara hidup tetapi komuniti petani, penternak dan nelayan masih dibelenggu kemiskinan.
“Oleh itu perlu ada dasar baharu untuk mengubah nasib petani, peternak dan nelayan.”
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata kementerian kini dalam perbincangan untuk mengubah dasar yang sedia ada bagi menangani masalah itu.
“Kementerian dalam pertimbangan untuk mengubah dasar subsidi kepada berdasarkan hasil keluaran,” katanya dalam ucapan di majlis Jalinan Mesra Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Selayang awal hari ini.
“Daripada menyalurkan subsidi melalui syarikat besar, kita mahu memberi subsidi itu terus kepada petani supaya mereka boleh memilih untuk membeli barangan yang diperlukan seperti benih, racun, baja dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga boleh memanfaatkan teknologi dengan adanya telefon bimbit dengan semua petani, untuk menyalurkan subsidi secara langsung kepada masyarakat.
Selain itu, kerajaan juga mahu memecah pasaran yang dikawal oleh syarikat tertentu bagi membolehkan lebih ramai peserta meningkatkan persaingan dan menurunkan harga barangan makanan.
“Ada perubahan dasar yang kita harap boleh megubah (sektor pertanian) dan memperkasakan petani untuk membuat pilihan terbaik,” katanya.
Beliau berkata ramai petani berkemampuan dan golongan graduan juga menceburi bidang ini.
Sim berkata beliau yakin prospek sektor pertanian ini mampu kekal sebagai industri yang sentiasa relevan.
Kerajaan menyediakan subsidi baja, racun, petrol, diesel dan elaun sara hidup untuk golongan nelayan. – 10 November, 2019.
Komen