Anwar ingatkan pemimpin, turun ke akar umbi dengar suara rakyat


Ragananthini Vethasalam

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu beri jalan penyelesaian dan jangan sekadar berleter kepada masalah dihadapi golongan petani dan nelayan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 November, 2019.

PEMIMPIN jangan hanya berleter tetapi mesti turun ke akar umbi untuk memahami denyut nadi sentimen dan masalah yang dihadapi oleh petani dan nelayan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, pemimpin perlu membantu menyelesaikan masalah rakyat, dan masalah itu hanya boleh difahami dengan mereka turun ke akar umbi.

“Kita dalam kerajaan harus beri penyelesaian, jangan buat leteren. Orang letih dengan leteran,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di majlis Jalinan Mesra Peladang 2019 anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Selayang, hari ini.

Dalam ucapannya Anwar menceritakan pengalaman beliau melihat sendiri bagaimana masalah di akar umbi tidak sama dengan apa yang diangkat dan dibincangkan di Putrajaya.

Beliau menceritakan pengalamannya bertemu pekebun getah di Pedu, Kedah dua bulan lalu, yang sudah beliau sampaikan juga kepada Menteri Industri Utama Tereka Kok dan timbalannya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Itu sebabnya pemimpin mesti turun untuk memahami masalah terutamanya (yang dihadapi) pekebun kecil, nelayan dan penanam padi.

“Mereka ini kategori miskin, B40,” katanya.

Anwar juga berkata adalah satu kesilapan sekiranya pemimpin ada tanggapan bahawa kelompok itu susah hendak menyesuaikan diri dengan perubahan atau tidak mahu bekerja keras.

“Kita perlu beri mereka ruang (untuk maju) dan sekiranya tidak berjaya kita boleh tegur mereka,” katanya.

Anwar yang pernah jadi menteri pertanian pada 1980-an berkata sektor pertanian adalah penjana utama pertumbuhan ekonomi kerana melibatkan pemain yang banyak.

Namun keadaan sudah berubah di bawah pentadbiran sekarang apabila kementerian itu diberikan lebih perhatian berbanding dulu, ketika ia dianggap kementerian kecil dan diabaikan sewaktu negara mencapai kemajuan.

Menurut Anwar, teknologi dan pendigitalan boleh digunakan untuk mengembangkan industri pertanian.

Pengembangan itu bagaimanapun tidak bermakna sekiranya kepentingan dan kebajikan golongan petani tidak terbela, sementara jurang miskin dan kaya semakin melebar.

Beliau bagaimanapun yakin pendekatan dan dasar baharu Kementerian Pertanian dan Asas Tani hari ini mengambil kira semua hal itu.

Anwar juga berharap Nafas dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan menjadi orang tengah yang menghubungkan kerajaan dan golongan petani, dan peranan mereka itu mustahak. – 10 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen