Amanah mahu Anwar jadi PM


Diyana Ibrahim

Presiden Amanah Mohamad Sabu berucap di Konvensyen Nasional Amanah di Alor Setar hari ini. Antara usul yang diluluskan perwakilan adalah Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dan Mohamad Sabu akan bertanding di Pulau Pinang pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Oktober, 2017.

KONVENSYEN Nasional Amanah hari ini sebulat suara meluluskan usul menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan, sekiranya gabungan pembangkang itu menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Usul yang dikemukakan oleh wakil Amanah Johor itu diluluskan tanpa perbahasan oleh 899 perwakilan pada hari penutup konvensyen di Alor Setar.

“Rakyat mahukan calon perdana menteri yang jelas,” kata usul berkenaan.

Konvensyen itu turut meluluskan usul agar Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Dr Mujahid Yusof Rawa bertanding di Pulau Pinang pada PRU14.

Usul itu dikemukakan dengan alasan Mohamad dan Mujahid merupakan anak jati Pulau Pinang.

Dua usul berkenaan adalah antara 31 usul yang dikemukakan oleh perwakilan, dengan dua daripadanya ditolak.

Satu daripadanya ialah usul oleh Amanah Sabah yang mahu pimpinan tertinggi Majlis Presiden PH untuk segera mengadakan pertemuan dan perbincangan secara serius dengan Parti Warisan Sabah.

Usul tersebut ditolak kerana pewakilan Sabah yang mencadangkannya telah beredar dari majlis.

Satu lagi usul yang ditolak ialah menetapkan kuota 30% calon anak muda dalam PRU14 yang menjadi perdebatan hangat pada hari kedua konvesyen.

Mengulas usul yang dibawa oleh Pemuda Amanah itu, Mohamad dalam ucapan penggulungan presiden berkata apa yang paling penting ialah kelayakan seorang calon tanpa mengira usia.

Katanya, jika dalam pemimpin muda dapat membuktikan diri mereka layak sebagai calon, kuota itu tidak diperlukan kerana parti akan berbesar hati memberi mereka peluang bertanding pilihan raya.

“Kalau mula usia muda pun tak guna, Najib mula pada usia 22 tahun jadi menteri besar, sekarang apa jadi, penyangak.

“Tapi Nik Aziz jadi MB umur (sudah) lebih 64 tahun. Donald Trump 70 tahun, Mandela lebih 70 tahun,” katanya.

Mohamad juga menyatakan keyakinannya terhadap potensi Amanah jadi lebih hebat kerana berdasarkan prestasi baru dua tahun usianya namun pencapaiannya melebihi daripada jangkaan.

“Kadang saya bimbang juga, adakah nasib Amanah ini akan jadi seperti parti serpihan yang lain seperti Ikatan, Berjasa.

“Tapi bila saya tengok jumlah pewakilan yang ada hari ini saya yakin. Bahawa inilah buktinya parti ini berdasarkan ideologi bukan (tempat) kemarahan sementara.” – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen