PERKHIDMATAN seru pandu motosikal tidak akan menjejaskan khidmat seru pandu lain seperti Grab kerana penumpang tetap akan memilih kereta untuk perjalanan jauh, kata pemandu.
Pemandu Grab mungkin akan kehilangan peluang menghantar penumpang jarak dekat, tetapi mereka yakin kebanyakan penumpang akan memilih kereta untuk perjalanan jauh.
Presiden Pemandu Grab Malaysia Arif Asyraf Ali menjangkakan penurunan antara 10% sehingga 15% penumpang apabila ujian awal untuk Keberkesanan Konsep (POC) khidmat motosikal seru pandu mula dilaksanakan, Januari nanti.
“Kami tak boleh jangka berapa banyak (akan terjejas) sehinggalah perkhidmatan itu mula beroperasi. Kami juga perlu tengok tambang mereka dan struktur ganjaran yang ada.
“Tetapi, saya tak rasa akan terjejas banyak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Minggu lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan yang Putrajaya sudah memberikan kebenaran pelaksanaan ujian skala kecil perkhidmatan motosikal seru pandu bagi membolehkan kerajaan menilai permintaannya bagi merangka peraturan penyeliaan.
Ujian percubaan itu akan dilakukan di sekitar Lembah Klang dan dijangka memenuhi kelompangan perjalanan jarak dekat dalam sistem pengangkutan awam, seperti antara stesen LRT dan destinasi akhir penumpang.
Loke berkata perkhidmatan seru pandu motosikal itu akan tertakluk kepada peraturan dan syarat perlesenan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, dan terma sama untuk perkhidmatan seru pandu lain seperti Grab akan terpakai ke atasnya.

Arif bersetuju yang perkhidmatan seru pandu motosikal mempunyai kelebihan dalam aspek penghantaran jarak dekat penumpang dalam kawasan bandar.
Tambahan pula, pemandu Grab sendiri tidak berapa gemar membawa penumpang di tengah Kuala Lumpur ketika waktu puncak, tambahnya.
“Jadi untuk perjalanan jarak dekat, seru pandu motosikal akan ada kelebihan. Misalnya, ada penumpang mahu ke Bukit Bintang dari KLCC, dia mungkin memilih motosikal berbanding terpaksa menunggu dalam kesesakan lalu lintas (guna kereta),” katanya.
Kelebihan perkhidmatan seru pandu Grab pula, katanya, adalah ia lebih selamat, selesa dan perlindungan cuaca.
“Penumpang akan tetap memilih kereta kami, terutama untuk perjalanan jauh. Ia juga lebih selamat.”
Penyedia perkhidmatan seru pandu motosikal tempatan Dego Rider juga terkejut dengan perkembangan terbaru ini.
Pengasasnya Nabil Feisal Bamadhja berkata, mereka kini dalam proses perbincangan perancangan untuk menyambung semula sepenuhnya operasi tahun depan selaras dengan peraturan ditetapkan kementerian.
“Kami sangat terkejut dengan perkembangan ini dan ada banyak perkara perlu dibuat untuk memenuhi garis panduan Kementerian Pengangkutan bagi melancarkan semula perkhidmatan teksi motosikal berasal dari negara ini.
“Apa yang penting sekarang adalah perkhidmatan untuk orang awam, supaya mereka boleh dapat akses perkhidmatan seru pandu motosikal yang baik.”
Dego Ride masih belum memuktamadkan bayaran perkhidmatan dan sedang berusaha memastikan pemandunya berada di jalan raya bermula awal tahun depan.
Perkhidmatan seru pandu motosikal banyak digunakan di negara lain seperti Indonesia dan Thailand, ia menjadi bualan di Malaysia pada Ogos lalu apabila Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan kemasukan gergasi khidmat itu dari Indonesia, Gojek untuk merangsang ekonomi gig dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.
Cadangan itu menimbulkan persoalan tentang nasib Dego Ride- syarikat seru pandu motosikal tempatan- yang pernah beroperasi di Johor pada 2016 tetapi diharamkan setahun kemudian oleh kerajaan ketika itu kerana isu keselamatan. – 10 November, 2019.
Komen