Calon Pakatan PRK Tanjung Piai tidak ingat kenyataan MB Perak


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Karmaine Sardini (tengah) berucap semasa PKR Tanjung Piai di Pontian Kechil, Johor, malam tadi. Beliau mengakui tidak ingat mengenai kenyataan kontroversi dikeluarkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengenai DAP baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 November, 2019.

CALON Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai Karmaine Sardini tidak ingat apa yang disebut oleh Ahmad Faizal Azumu semasa menteri besar Perak itu mengeluarkan kenyataan mengkritik DAP, seperti yang tersebar dalam rakaman video yang tular beberapa hari lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku ada bersama Faizal semasa kejadian.

Karmaine berkata, kejadian itu berlaku minggu lepas di jeti Jeram Batu, Pekan Nanas, di depan kira-kira empat atau lima individu.

“Ia berlaku di jeti Jeram Batu minggu lepas. Ada dalam empat, lima orang sahaja,” kata Karmaine ketika ditemui selepas ceramah di Pusat Perdagangan Pontian malam tadi.

“Saya tak dengar penuh video itu. Saya memang ada di situ tetapi saya tidak ingat apa yang berlaku. Saya tahu mengenainya tetapi jawapan beliau saya tak pasti. Saya tidak dapat skripnya, beri saya semak dulu ya,” kata Karmaine merujuk kepada Faizal.

Dalam rakaman video yang tular baru-baru ini, Faizal mendakwa beliau berseorangan cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak DAP ini.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai.

Faizal juga berkata mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Umno di Perak, malah tidak duduk bersama menteri PH pada hari penamaan calon PRK Tanjung Piai sebaliknya bersama ahli dan pemimpin Umno.

Kenyataannya itu mengundang reaksi negatif pimpinan DAP dan PH dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta Faizal memberikan penjelasan maksud kenyataannya itu.

Menteri kewangan itu berkata, kenyataan itu menunjukkan seolah-olah Faizal bercakap bagi pihak lawan.

Faizal kemudian menjelaskan kenyataannya diambil di luar konteks dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya semalam menganggap ia sebagai isu remeh dan ia pandangan yang dibuat berdasarkan pengalaman peribadi Faizal serta tidak mencerminkan sikap PH.

Dalam video sepanjang 6.26 minit yang dimuat naik di laman Facebook Ops Johor, menunjukkan, Karmaine dan Faizal duduk berdepan.

Karmaine turut diasak penduduk kampung dengan kenyataannya sebelum ini yang menyentuh isu harga rendah kelapa sawit.

Turut kelihatan dalam rakaman tersebut beberapa individu memakai baju kemeja-T berwarna merah dengan lambang Bersatu, yang dipercayai jentera PH. – 10 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen