JABATAN Hidupan Liar mengambil beberapa langkah untuk membantu pemuliharaan gajah kerana haiwan itu mula kehilangan habitat mereka akibat pembangunan pesat.
Namun “konflik antara manusia-gajah”, seperti yang dialami Orang Asli Temiar di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini, tidak mengejutkan kerana kadar perkembangan ekonomi begitu pesat sehingga menyebabkan hutan juga turut pesat diteroka.
Antara 2013 hingga 2017, jabatan itu menerima 1,988 aduan mengenai pencerobohan gajah.
Gajah adalah spesies ketiga yang paling bermasalah dalam konflik hidupan liar dan manusia selepas monyet (20,198 aduan) dan babi hutan (4,054 aduan).
Jabatan itu berkata habitat terhad di sekitar kawasan hutan telah memaksa haiwan di Kelantan mencari makanan di kawasan pertanian dan penempatan kampung.
“Masalah dengan gajah, babi hutan dan monyet adalah sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara ini.
“Sesetengah habitat gajah juga hilang kerana pembangunan seperti perumahan dan pertanian,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
Jabatan Hidupan Liar diminta memberi maklum balas kepada laporan The Malaysian Insight dua hari lalu mengenai penerokaan tanah di Pos Simpor, Gua Musang, yang menjadi penyebab gajah liar mula mendekati kampung Orang Asli, dan memusnahkan tanaman makanan mereka dan infrastruktur bekalan air.
Jabatan itu mula menangani konflik manusia-gajah dengan menubuhkan Pelan Konservasi Gajah Kebangsaan (Necap) sejak 2013 untuk pendekatan yang lebih holistik.
Dari tahun 2013 hingga 2017, 161 gajah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke tempat perlindungan gajah di Sungai Ketiar dan Taman Negara di Terengganu, rizab hutan di Belum dan Lenggor, Perak, dan Panti dan Endah Rompin di Johor.
Usaha tersebut sekurang-kurangnya memerlukan kos RM9 juta.
Untuk mewujudkan kesedaran, mereka juga menganjurkan program MyElefriend dan menjalankan pemasangan pagar di komuniti berhampiran dengan kawasan hutan.
“Isu yang dibincangkan adalah kesedaran dan pemahaman mengenai konflik gajah-manusia.
“Ini termasuk sesi dialog dan perbincangan bersama orang ramai bagi mempelajari cara menyayangi hidupan liar dan berkebun, terutamanya di kawasan yang bersempadan dengan kawasan berhutan.”
Di Pos Simpor, Orang Asli memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka telah berusaha untuk menghalau kawanan gajah dengan menghidupkan api pada waktu malam selain mengetuk dram.
Namun kampung-kampung di kawasan itu tetap dicerobohi gajah sekurang-kurangnya tiga kali setakat ini, menyebabkan kerosakan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, sehingga menyebabkan kekurangan makanan bagi penduduk kampung.
Jabatan itu juga turut membina pagar elektrik sepanjang 283.3 km di lima negeri termasuk Pahang, Johor, Perak, Kelantan dan Terengganu, dengan jumlah kos sebanyak RM13.65 juta.
Terdapat juga sistem amaran awal dan penyelidikan berterusan mengenai pergerakan gajah liar dengan menggunakan kolar satelit melibatkan 21 ekor gajah. – 10 November, 2019.
Komen