KERAJAAN Pulau Pinang telah menyenaraihitamkan kontraktor projek perumahan mampu milik di mana berlakunya kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri juga menyenaraihitam pihak dikatakan “pakar” semasa tempoh suruhanjaya siasatan.
“Kerana ada dua - satu, pemaju, satu lagi ialah syarikat kontraktor - dan kontraktor yang disenarai hitam bersama pihak yang dikatakan pakar,” katanya di Tanjung bungah.
Lim sebelum ini berkata kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan suruhanjaya rasmi bagi menyiasat insiden itu, yang setakat ini telah meragut 8 nyawa.
Beliau juga berkata pemaju tidak akan dibenarkan memulakan kerja sehingga suruhanjaya siasatan melengkapkan laporannya.
“Pemaju tidak akan dibenarkan memulakan kerja pada projek perumahan mampu milik ini sehingga suruhanjaya siasatan menyelesaikan siasatan dan menyerahkan laporannya.
“Mesti ada sesuatu yang tidak kena semasa pembinaan kerana beberapa hari kebelakangan ini tiada hujan yang boleh menyebabkan runtuhan.
“Walaupun kami tak mahu membuat sebarang spekulasi, ada rasa curiga yang kuat terhadap kecuaian profesional, kecacatan pemantauan dan ketidakpatuhan kepada prosedur keselamatan kerja.”
Bagaimanapun, Lim enggan mengulas mengenai kumpulan sivil Pulau Pinang yang mempersoalkan sama ada kerajaan negeri mematuhi garis panduan keselamatannya sendiri berhubung pembangunan di lereng bukit.
“Kita di sini bercakap mengenai tapak pembinaan, jadi mesti fokus kepada tapak pembinaan,” katanya.
Beliau berkata terma rujukan bagi siasatan itu akan dijalankan pada mesyuarat exco kerajaan negeri akan datang.
“Penubuhan dan terma rujukan akan dilaksanakan dan diluluskan dalam mesyuarat exco negeri Pulau Pinang pada minggu depan,” katanya.
Lim berkata suruhanjaya siasatan akan dibuat berdasarkan kepada suruhanjaya siasatan negeri 2013 berkaitan runtuhan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan tumbangnya menara di atas bangunan Umno.
Komen