JABATAN Bomba dan Penyelamat sudah menemui mangsa kelapan tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Ketua Operasi Bomba Edwin Galan Teruki berkata mereka berdepan masalah sama dengan mangsa ketujuh kerana kedua-dua mangsa dihimpit rasuk besi.
“Kami menemui mangsa ketujuh yang berasal dari Bangladesh dan mangsa kelapan (kami temui) dan dalam usaha menariknya keluar, kami berdepan kesukaran kerana dia dihimpit rasuk besi, jadi kami perlu berhati-hati jaga mayat itu,” katanya kepada wartawan.
Katanya, usaha mengeluarkan bertambah sukar kerana rasuk besi itu menindih mayat berkenaan. Bagaimanapun, dia berharap mangsa lain berada berhampiran rasuk besi itu untuk memudahkan usaha mencari.
“Mangsa kelapan kami temui pada jam 3.27 petang, mangsa ketujuh pada 9.50 pagi dan kami hanya boleh keluarkan selepas tiga jam kemudian, saya sendiri berada di kawasan itu.
“Mangsa ditindih rasuk besi, tetapi ia tidak menembusi badan mangsa jadi kami perlu potong rasuk besi supaya tak ganggu mayat.
“Ketiga-tiga mangsa terbaru ditemui berhampiran dengan rasuk besi jadi kami harap yang lain berhampiran itu juga,” katanya.
Termasuk mayat kelapan yang masih tidak dikenalpasti kewarganegaraan, seorang rakyat Malaysia, seorang Pakistan dan dua warga Bangladesh masih terperangkap dalam timbunan tanah runtuh itu. – 22 Oktober, 2017.
Komen