DUA pengarah filem dan drama televisyen, Sabri Yunus dan Nam Ron antara tarikan Pesta Sastera George Town (GTLF) 2019 yang akan berlangsung selama lima hari di Pulau Pinang, hujung bulan ini.
Mereka akan mengupas bagaimana loghat daerah dalam Bahasa Melayu yang mengungkap pandangan dunia dan gaya pertuturan masyarakat setempat diketengahkan dalam karya seni mereka.
“Kita akan membincangkan bagaimana mereka menggunakan loghat Bahasa Melayu dalam penciptaan karya mereka,” kata pengarah bersama GTLF 2019, Pauline Fan.
“Sabri dan Nam Ron antara budayawan yang menggunakan loghat (masing-masing Kelantan dan Perlis) dalam karya mereka yang telah mencuri perhatian khalayak ramai,” tambahnya.
Sabri awal tahun lalu mencetuskan fenomena selepas drama TV arahannya Pok Ya Cong Codei yang menggunakan loghat Kelantan mendapat sambutan hangat walaupun tidak semua penonton memahami bahasanya.
Beliau juga sering muncul di televisyen dengan dikir barat, kesenian berlagu dari Kelantan.
Nam Ron, yang mengarahkan filem One Two Jaga, pula mula menempa nama hampir dua dekad lalu melalui naskhah teater Mat Derih Kola Perlis yang menggunakan loghat Kuala Perlis. Teater itu sedang diadaptasi ke filem dengan judul sama.
“Kami ingin menerokai keistimewaan gaya pertuturan setempat dalam penciptaan karya, sebagai satu cara menangkap kesuburan bahasa dan kepelbagaian yang wujud dalam Bahasa Melayu itu sendiri,” jelas Fan.
Menurut Fan, GTLF yang masuk tahun kesembilan dan semakin popular dalam kalangan khalayak sastera sedunia kali ini menampilkan lebih banyak program dan aktiviti, berbanding ketika ia bermula pada 2011.
Pesta kali ini juga menampilkan syarahan mengenai puisi oleh penyair, penulis esei dan tokoh wartawan Indonesia, Goenawan Mohamad.
Ia juga membariskan sasterawan terkemuka seperti pemenang Man Booker International Prize 2019, Jokha Alharti dari Oman dan penulis Malaysia, Saras Manickam yang memenangi Commonwealth Short Story Prize 2019 bagi Asia.
Pesta sastera tahunan itu kali ini mengetengahkan tema forewords/afterwords (kata pengantar/kata hujungan) yang mengangkat konsep permulaan dan peralihan dengan fokus kepada sejarah dan sastera.
Pada keterangan di laman webnya, GTLF 2019 menjelaskan tema itu dipilih mengambil kira perubahan politik yang berlaku di serata dunia yang mencetuskan harapan tetapi pada masa membawa krisis.
Dalam pada itu, Fan juga menjelaskan GTLF kali ini memperkenalkan program kuliah antaranya mengenai penterjemahan dan penulisan.
Sementara itu Ketua Pengarah Eksekutif Biro Pameran &Konvesyen Pulau Pinang Ashwin Gunesekeran menjangkakan GTFL2019 akan dapat menarik kehadiran sekurang- kurangnya 6,000 pengunjung luar dan tempatan.
“Tahun lepas 4,000 lebih hadir dan program cuma tiga hari, namun tahun ini kita sasarkan lebih ramai kerana tempoh program kita selama empat hari,” katanya.
“Salah satu sebab festival ini berkembang, kita ada pelancong luar yang datang semata untuk program ini,” tambahnya.
GTLF berlangsung antara 21 hingga 24 November ini.
GTLF kali ini diselenggarakan bersama untuk tahun keempat dengan Biro Pameran & Konvesyen Pulau Pinang, serta dengan kerjasama Kinokuniya dan Think City.
Maklumat lanjut mengenainya di https://www.georgetownlitfest.com/. – 9 November, 2019.
Komen