MAJLIS Presiden Pakatan Harapan akan membincangkan kenyataan yang didakwa dibuat oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berhubung “perjuangan seorang diri” dengan DAP, kata Syed Saddiq Abdul Rahman.
Ia susulan selepas Faizal daripada Bersatu, dikritik oleh pemimpin DAP dan PKR berkenaan satu klip video menunjukkan beliau bercakap tentang beliau berseorang diri cuba melawan DAP di Perak.
Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda Bersatu, berkata ia bukan parti yang anti Islam seperti digambarkan dalam video itu.
DAP bersetuju untuk memberikan peruntukan lebih banyak untuk institusi yang membantu orang Melayu.
“Kenapa mereka setuju (jika anti Islam)? Semua cadangan itu diterima oleh DAP.
“Ini menunjukkan kita bekerjasama sebagai keluarga. Mereka bukan anti Islam atau Melayu,” katanya selepas menghadiri satu program hari ini.
Dalam klip video sepanjang dua minit 47 saat itu yang dimuat naik di laman Facebook Ops Johor, Faizal kelihatan berbincang dengan sekumpulan orang tentang bagaimana beliau berdepan dengan DAP dalam beberapa isu termasuk tentang isu tanah orang Melayu.
“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.
“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu.
Faizal berkata beliau bersyukur kerana ada sebahagian “rakan-rakan dalam Umno” tidak menegur kerana usahanya itu.
Terdahulu hari ini pemimpin PH dikatakan memilih untuk tidak membesarkan episod kes itu dan berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik dan selepas PRK Tanjung Piai.
Veteran DAP Lim Kit Siang dipetik berkata mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil Tanjung Piai dulu.
“Saya rasa beliau telah menjelaskan bahawa ia diambil di luar konteks. Dalam apa juga keadaan, ini satu perkara yang perlu diambil kira selepas pilihan raya kecil ini,” kata Lim dipetik media.
Lim menekankan fokus PH sekarang ialah menang di Tanjung Piai.
Dalam rakaman video yang turut dikongsi oleh Azizi Safar, ahli Umno Kepala Batas, Faizal mendakwa beliau berseorang diri cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.
“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.
“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai.
Faizal kemudian menjelaskan kenyataannya diambil di luar konteks, dibuat berdasarkan pengalaman beliau sendiri di Perak apabila katanya, ada pemimpin DAP cuba menjatuhkannya. – 9 November, 2019.
Komen