DATUK Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Maimunah Mohd Sharif berkata semua projek pembangunan lereng bukit perlu melalui garis panduan ketat sekaligus menafikan tuduhan yang pihak berkuasa tempatan mudah meluluskan projek jenis itu.
Kejadian tanah runtuh semalam menyebabkan 14 orang pekerja tapak pembinaan apartmen 50 tingkat mampu milik di Lorong Lembah Permai 3 ditanam hidup-hidup.
Maimunah juga mengatakan pihak yang mendakwa wujudnya unsur korupsi dalam perkara itu boleh memfailkan aduan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada bukti.
“Kami lakukan kerja kami dengan jujur dan berintegriti,” katanya kepada wartawan di tapak pembinaan di Tanjung Bungah awal hari ini.
Maimunah mengatakan majlis memproses semua permohonan yang diterima untuk projek pembinaan, yang kemudiannya akan dirujuk kepada 22 jabatan teknikal sebelum dibawa kepada pusat sehenti majlis untuk dipertimbangkan.
“Bagaimana boleh majlis meluluskan projek begitu sahaja? Kami ikut proses dan peraturan,” katanya.
Kelulusan perancangan untuk projek tempat tanah runtuh itu berlaku diluluskan majlis pada Febuari 2015 sementara pelan bangunan diluluskan pada Mei tahun sama.
Ditanya sama ada benar cerun tapak pembinaan itu sangat curam dan bahaya untuk dibangunkan, Maimunah berkata mereka perlu memeriksa laporan impak alam sekitar secara terperinci.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata yang kontraktor projek dan “pakar” yang terlibat dalam pembinaan itu akan disenarai hitamkan dalam tempoh siasatan suruhanjaya yang akan ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian.
Setakat ini, lapan daripada 14 pekerja yang tertimbus sudah ditemui terbunuh. Mayat terbaru ditemui sebelum jam 4 petang tadi. – 22 Oktober, 2017.
Komen