Man Gerek berkayuh dari masjid ke masjid di Jepun


Zaim Ibrahim

Suliman Abdullah atau nama panggilannya Man Gerek memulakan misi kembara di Jepun selama tiga minggu, menjelajah dari masjid ke masjid.– Gambar Fscebook, 9 November, 2019.

DENGAN sebuah basikal, Suliman Abdullah yang berasal dari Kulim, Kedah hari ini memulakan misi kembara di Jepun selama tiga minggu, menjelajah dari masjid ke masjid.

Suliman, 49, yang lebih popular dengan panggilan Man Gerek – atau basikal dalam loghat Kedah – akan memulakan misi kayuhannya di Tokyo menuju ke Osaka sebelum melalui beberapa bandar antaranya Hiroshima dan Nagasaki.

Kembaranya dijadual tamat di Fukuoka pada 27 November ini, merentas jarak lebih 2,000 kilometer.

Bapa empat anak aktif berbasikal sejak remaja memilih Jepun kerana berminat dengan perkembangan Islam di negara matahari terbit itu.

“Budaya, jiwa dan sifat amanah mereka lebih Islam daripada kita, dan sebab itu saya pilih Jepun untuk jelajah.

“Saya mahu belajar dengan masyarakat di sana dan apabila balik, saya boleh ajar semula kepada rakyat kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suliman dijadual berlepas ke Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini. Beliau dijangka tiba di Tokyo pukul 7 malam ini waktu Malaysia.

Sepanjang tiga minggu di Jepun, Suliman akan menumpang teduh di masjid bukan saja untuk bermalam tetapi untuk mengimarahkan masjid.

Man Gerek turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan ahli keluarganya untuk meneruskan kembara di Jepun.  – Gambar Facebook, 9 November, 2019.

“Saya akan berkongsi pengalaman tentang kembara saya ke Mekah tahun lepas dan perjalanan di Jepun,” katanya.

“Saya harap mereka juga akan lebih tertarik dengan Islam.”

Tahun lalu, Suliman berkayuh dari Kulim ke Mekah, pengalaman yang beliau rakamkan dalam sebuah buku bertajuk Kembara Menuju Lambaian Kaabah.

Usahanya itu turut mendapat pengiktirafan daripada “Malaysia Book of Records” sebagai rakyat Malaysia pertama berkayuh dari Kedah ke Mekah.

Suliman yang mengaku gemar kehidupan yang mencabar menjadikan lagenda Panglima Awang sebagai inspirasi untuk mengelilingi dunia.

Panglima Awang, atau dalam sejarah disebut juga dengan Enrique dari Melaka, adalah pemuda Melayu yang jadi pembantu kepada Ferdinand Magellan pada kurun ke-16.

Kisah pelayarannya dipopularkan oleh Harun Aminurrashid dalam novel yang terbit pada 1958.

“Panglima Awang hebat dalam dunia perkapalan, membaca bintang dan mengharungi cabaran. Itu inspirasi saya,” katanya.

Untuk misi kembara dari masjid ke masjid di Jepun ini, Suliman menjalani latihan stamina dan kecergasan dengan berlari 5 km setiap hari dan berkayuh sejauh 80 km pada hujung minggu.

“Latihan saya memang agak teruk tetapi saya tidak dapat berlatih hari-hari kerana faktor kerja,” katanya, yang bekerja sebagai penolong pengurus di Plus Malaysia Berhad.

Walaupun baru hari ini memulakan jelajah tiga minggu di Jepun, Suliman sudah merancangkan misi kembara seterusnya. Beliau meneroka Eropah tahun depan.

“Nikmat berbasikal berbeza dengan jalan kaki atau melancong secara backpacking.

“Dengan basikal, lebih mudah berjumpa orang serta memerhati tingkah laku dan budaya masyarakat.

“Sebab itu saya pilih untuk mengembara dengan basikal,” katanya. – 9 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen